Global

FPV CATAT KADAR 100 PERATUS KEBOLEHPASARAN GRADUAN

KOTA BHARU I Graduan Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencatatkan 100 peratus kadar kebolehpasaran graduan menerusi pelbagai bidang kepakaran veterinar sama ada di sektor kerajaan atau swasta.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah UMK, Prof Dr Mohd Rosli Mohamad berkata, kadar kebolehpasaran itu menunjukkan permintaan tinggi terhadap graduan dalam bidang profesional veterinar dan memberi peluang jaminan kerja lebih luas kepada pelajar dalam bidang ini.

Menurut beliau, UMK pada tahun ini melahirkan seramai 45 orang graduan doktor perubatan veterinar dan dengan penambahan ini akan meningkatkan serta boleh menampung keperluan veterinawan yang kompeten serta berwibawa di negara ini.

“Sehingga kini, UMK telah berjaya menghasilkan seramai 313 orang doktor perubatan veterinar sejak tahun 2014 dan mereka ini telah menabur jasa dalam sektor kerajaan, badan berkanun serta swasta untuk bidang perubatan veterinar.

“Bertepatan dengan moto UMK, ‘Entrepreneurship is our thrust, transformative, entrepreneurial, excellent’, ia telah membuka jalan kepada alumni untuk turut menceburi bidang perniagaan yang merangkumi bidang perubatan veterinar seperti klinik dan ladang, juga dalam bidang bukan veterinar seperti perniagaan hartanah dan kecantikan.

“Terdapat juga sebahagian daripada alumni UMK menabur khidmat bakti dengan menjadi tenaga pengajar di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dalam kepakaran masing-masing,” katanya ketika berucap mewakili

Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad, sempena Majlis Ikrar dan Pendaftaran Ikhtisas Kedoktoran Veterinar serta Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar FPV, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, baru-baru ini.

Pengisytiharan 45 graduan FPV UMK sebagai ahli Ikhtisas Kedoktoran Veterinar Malaysia telah diumumkan oleh Pendaftar Majlis Veterinar Malaysia (MVM), Dr Akma Ngah Hamid.

Turut hadir, Presiden Majlis Veterinar Malaysia, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor dan Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar), Dr Sandie Choong Siew Shean.

Sementara itu, Prof Mohd Rosli berkata, UMK telah berjaya mendapatkan sejumlah peruntukan untuk membina satu Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar di Kampus Bachok, di atas tanah seluas 36 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Katanya, kompleks ini akan dilengkapi dengan bangunan akademik, makmal pengajaran dan klinik.

“Dengan mempunyai kelengkapan sebegini, pihak universiti menjangkakan akan berlaku peningkatan pengambilan pelajar jurusan perubatan veterinar di masa depan.

Kemudahan dan fasiliti ini akan menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran perubatan veterinar yang kondusif, selesa dan menepati kriteria Majlis Veterinar Malaysia bagi memberi impak yang tinggi kepada kualiti graduan program perubatan veterinar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Sandie pula berkata, majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik FPV 2021 diadakan bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang graduan Doktor Perubatan Veterinar tahun 2021.

“Pada tahun ini, sebanyak 19 kategori anugerah kecemerlangan ditaja oleh 17 rakan-rakan industri dan persatuan profesional veterinar membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM30,950.

“Pihak universiti dan fakulti ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan strategik industri dan persatuan profesional veterinar yang telah menyumbang anugerah berprestij ini sejak tahun 2014.

“Majlis penganugerahan ini akan memberi semangat dan motivasi kepada graduan untuk meneruskan kecemerlangan di masa hadapan dan seterusnya menyumbang bakti kepada perkembangan kerjaya veterinar di Malaysia,” katanya.

4

Web Traffic

2.png8.png3.png2.png9.png0.png
Today5
Yesterday291
This week1641
This month5138
Total283290

Who Is Online

3
Online

2024-04-20

Search