GLOBAL

General

PROGRAM KOLABORASI PENGANTARABANGSAAN FAKULTI KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN DI JAWA TIMUR, INDONESIA

PROGRAM KOLABORASI PENGANTARABANGSAAN FAKULTI KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN DI JAWA TIMUR, INDONESIA

 
JAWA TIMUR 27 Disember | Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) mengorak langkah kehadapan dengan menjalinkan hubungan kerjasama akademik dengan Universitas Islam Malang (UNISMA) sempena Program Kolaborasi Pengantarabangsaan FKP, yang berlangsung di Jawa Timur, Indonesia, pada 26 hingga 27 Disember 2019.
 
Program selama dua hari itu diketuai oleh Ketua delegasi UMK iaitu Dekan FKP, Prof. Madya Ts. Dr. Zailani Abdullah, Timbalan Dekan Akademik dan Pembangunan Pelajar, Dr. Dzulkifli Mukhtar, Pensyarah FKP, Dr. Muhammad Ashlyzan Razik dan Dr. Mohd Fathi Abu Yaziz.
 
Kerjasama ini diadakan sejurus termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini antara UMK dan Universiti di Indonesia untuk membolehkan kedua-dua pihak dapat menjalankan kerjasama berorientasikan akademik, penyelidikan dan inovasi untuk memanfaat bersama. 
 
Antara pengisian utama program koloborasi sepanjang dua hari lawatan tersebut, delegasi UMK telah menyertai beberapa siri seminar dan forum antarabangsa iaitu The 1st International Seminar on Malindo Entrepreneurship (ISME 2019), Forum: The Current Challenges and Future Directions of Business School, Promotion: Future Prospect on PostGraduate Programmes at UMK, Discussion: Student Mobility Programme (Credited/Non Credited) and Discussion: International Matching Grant.
 
Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Zailani, antara forum yang mencuri perhatian delegasi ialah The 1st International Seminar of Malindo Entrepreneurship (ISME 2019) anjuran UNISMA dengan kerjasama Fakultas Ekonomi dan Bisnes (FEB).
 
Forum bertemakan Leveraging Entrepreneurial Education for National Building berjaya menerima sambutan baik apabila hampir 100 peserta terdiri dari pensyarah dan pelajar hadir pada forum yang turut disertai oleh Universitas Narotama (UNNAR), Surabaya.  Forum tersebut dirasmikan  oleh Rektor UNISMA Prof. Dr. Masykuri M.Si.
 
Pada ucapan perasmian seminar tersebut, beliau antara lain telah menekankan aspek kelestarian School of Business dengan memanfaatkan Fourth Industrial Revolution (IR 4.0).
 
Sementara itu, sesi berikutnya adalah pembentangan utama yang disertai oleh tiga wakil institusi iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Zailani (Dekan FKP, UMK), Nur Diana SE, MSi. (Dekan FEB, UNISMA) dan Dr. M Ikhsan Setiawan (Timbalan Rektor 1, UNNAR). Manakala sesi pembentangan berikutnya melibatkan penyertaan dari 10 wakil dari gabungan tiga universiti yang berbeza.
 
Delegasi UMK turut mengambil bahagian pada sesi kedua forum bertajuk The Current Challenges and Future Directions of Business School dimana ahli panel adalah terdiri daripada Dekan FKP UMK, Dekan FEB UNISMA dan Timbalan Rektor 1 UNNAR. 
 
Prof. Madya Ts. Dr. Zailani berkata, forum hampir satu jam ini telah dibahagikan kepada tiga pusingan iaitu pusingan pertama yang menyentuh tentang cabaran terkini yang dihadapi oleh Business School berdasarkan kepada pengalaman dan pengamatan di insititusi masing masing. 
 
Tambah beliau, pada sesi pusingan  kedua, perbincangan tertumpu kepada hala tuju yang harus diperjelaskan dalam usaha memastikan kelestarian Business School dalam konteks pemegang taruh, masyarakat, industri dan negara. 
“Manakala sesi terakhir adalah rumusan hasil perbincangan dan input yang diterima dari peserta. Secara keseluruhannya, kesemua Business School perlu memastikan kelestariannya dengan melihat kembali sejauh mana kerelevanannya dalam pelbagai aspek kependidikan terutamanya dalam menangani arus kemajuan IR 4.0,” katanya.
 
Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Zailani, siri lawatan ke UNISMA juga dimanfaatkan oleh delegasi UMK menerusi sesi kuliah pesnyarah jemputan yang telah diatur bersama-sama dengan pelajar mereka.
 
“Pensyarah dari UMK dan UNNAR telah diberikan ruang untuk memberi kuliah berdasarkan kepada bidang keusahawanan dan kepakaran pensyarah masing-masing. Kuliah jemputan ini telah membuka banyak ruang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat tentang keusahawanan terutamanya berkaitan dengan IR 4.0 dan cabaran masa hadapan di dalam bidang keusahawanan dan kerjaya,” katanya. 
 
Dalam usaha menarik pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di UMK, satu sesi dinamakan Future Prospect on PostGraduate Programmes at UMK telah diadakan bertujuan untuk mempromosi program akademik pascasiswazah samada melalui penyelidikan mahupun secara kerja kursus. Slot ini telah dijadikan pelantar untuk menerangkan secara terperinci peluang pengajian di FKP melalui program penyelidikan PhD dan dua program ijazah sarjana kerja kursus iaitu Master in Entrepreneurship (MIE) dan Master in Islamic Banking (MIF). 
 
Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Zailani, kedua-dua progam sarjana ini hanya melibatkan tempoh masa setahun sahaja iaitu gabungan dari dua semester lazim dan satu semester pendek. Kesemua pelajar tahun akhir FEB UNISMA telah diedarkan brosur secara online bagi memudahkan mereka untuk membuat penelitian terperinci sebelum mendafar. 
 
Umumnya, rata-rata pelajar menunjukkan minat dengan yuran pengajian yang rendah dan juga memandangkan program ini akan diadakan di UMK Kampus Kuala Lumpur (MTDC-UPM) iaitu di Universiti Putra Malaysia, Serdang Selangor.  
 
Bagi menyokong program mobiliti pelajar berkredit, satu slot perbincangan bertajuk Discussion: Student Mobility Programme (Credited/Non Credited) telah diadakan pada siri lawatan ini dengan matlamat untuk mengenalpasti  potensi pelajar UMK dan UNISMA untuk mengadakan mobiliti pelajar berkredit selama satu semester dan tidak berkredit selama satu atau dua minggu. 
 
Katanya, penuntut kedua-dua institusi ini perlu memanfaatkan program ini kerana padanan kursus dibawah program BBA (Islamic Bank and Finance) UMK dibuat berdasarkan buku panduan akademik UNISMA yang diberikan dengan padanan secara langsung iaitu yang mempunyai nama kursus, kandungan dan jam kursus yang sama. Namun, terdapat kursus di FEB UNISMA yang tidak setara dari sudut jam kredit iaitu yang mempunyai kredit yang berkurangan.
 
“Namun penyelesaian awal telah dibuat dan dipersetujui untuk menyemak kembali Student Learning Time (SLT) dan berkemungkinan pihak FEB UNISMA perlu memberikan tugasan tambahan kepada pelajar. Hasil perbincangan, pihak FEB UNISMA mahupun UNNAR tiada masalah untuk menempatkan pelajar UMK diasrama sehingga mencecah 50 pelajar dan juga begitu isu reciprocal. Perbincangan selajut FKP akan menggunakan saluran Mesyuarat Senat Universiti bagi mendapatkan kebenaran pelaksanaannya pada september 2020,” katanya.
 
Sementara itu, dalam slot Discussion: International Matching Grant sebanyak enam projek telah dikemukakan kepada pihak UNISMA dan UNNAR dimana ini menjadi keperluan untuk projek penyelidikan geran padanan UMK untuk mendapatkan penglibatan dari tiga buah universiti. 
 
Prof. Madya Ts. Dr. Zailani berkata, beliau dimaklumkan bahawa kedua-dua institusi Indonesia memiliki peruntukan untuk geran padanan dan kepakaran penyelidik. 
 
“Satu sesi perbincangan telah diadakan yang lebih menjurus kepada usaha untuk mendapatkan nama penyelidik utama dari UNISMA dan UNNAR bersesuaian dengan projek yang boleh dijadikan sebagai penghubung sebaik sahaja proposal lengkap dimajukan diperingkat Research Management & Innovation Center, UMK. 
 
“Pada masa yang sama, UMK juga memohon kedua-dua universiti untuk turut menyediakan proposal baharu diperingkat mereka sebagai tanda kolaborasi penyelidikan bersifat menang-menang,” katanya.
 
Program Koloborasi Pengantarabangsaan FKP selama dua hari ini adalah platform terbaik untuk membentuk dan membina rangkaian kolaborasi penyelidikan antara UMK, UNISMA dan UNNAR di pentas antarabangsa untuk mengembangkan potensi UMK menjadi Universiti Keusahawanan No. 1 di Malaysia pada tahun 2023.
 
Oleh I Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan/Pusat Komunikasi Korporat

IMG 20200101 WA0030

 

Web Traffic

2.png8.png5.png3.png6.png5.png
Today298
Yesterday402
This week1616
This month7213
Total285365

Who Is Online

1
Online

2024-04-26

Search