GLOBAL

General

UMK TUNAIKAN IMPIAN GRADUAN FTKW TERIMA IJAZAH DI RUMAH PADA MAJLIS MINI KONVOKESYEN

UMK TUNAIKAN IMPIAN GRADUAN FTKW TERIMA IJAZAH DI RUMAH PADA MAJLIS MINI KONVOKESYEN

PASIR PUTEH 17 Disember I Hasrat graduan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) untuk mengenggam segulung ijazah di pentas konvokesyen akhirnya berjaya direalisasikan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) apabila satu majlis khas Mini Konvokesyen telah diadakan di kediaman keluarganya di Kampung Kiok, Baka, Machang, Kelantan, hari ini.

Saudara Abdul Halim Mat Hassan,25, yang disahkan menghidap kanser pangkal hidung dilihat terharu dan hiba berkongsi detik kegembiraan di hari graduasi apabila Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail sendiri telah menyampaikan skrol ijazah kepadanya dengan disaksikan oleh kedua-dua ibu bapanya, Mariah Ismail, 59, dan Mat Hassan Hamad, 63, serta nenek, Zainab Sulaiman, 109, yang sudah uzur.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Dekan FTKW, Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan dan Pendaftar UMK, Pn. Mazula Sabudin.

Majlis Penyampaian Skrol Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan dengan Kepujian (Elektif Kesusasteraan Warisan) telah berlangsung dengan penuh adat istiadat konvokesyen sebenar dirumahnya dengan pengisytiharan Konvokesyen oleh pengacara majlis tepat jam 3.30 petang.

Menurut Prof Dato’ Ts. Dr Noor Azizi, majlis mini konvokesyen ini diadakan di atas keperihatinan dan inisiatif pihak UMK kerana Abdul Halim tidak dapat hadir menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-9 Tahun 2019 yang berlangsung pada 19 Oktober 2019 lalu kerana masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan.

Susulan itu, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Pejabat Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK mengambil pendekatan ini dengan mengadakan mini konvokesyen simbolik untuk meraikan hari graduasi Abdul Halim.

“Kami menghargai usaha Abdul Halim yang selama ini bertungkus-lumus menamatkan pengajiannya untuk ijazah.

“Saya mendoakan Abdul Halim terus diberi kekuatan untuk melawan penyakit yang dihidapinya dan diberi kesembuhan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada UMK yang
merealisasikan impian untuk memakai jubah konvokesyen dan menerima ijazah pada hari ini.

Beliau yang teruja dengan majlis mini konvokesyen itu turut berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa dan keluarga yang telah banyak berkorban selama ini.

“Saya akan kuatkan semangat untuk menghadapi semua ini dan akan meneruskan kehidupan ini. Majlis menyambut majlis konvokesyen di rumah menjadi satu momen yang paling indah yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Abdul Halim berkata, beliau terpaksa menangguhkan pengajian kerana dikesan menghidap kanser pada tahun 2017 selepas mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HPRZ) sebelum mendapat rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Sebaik disahkan menghidap kanser, saya tangguh pengajian demi menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi.

“Saya terpaksa mendapat dua rawatan selama setahun termasuk radioterapi sebanyak 36 kali dan kimoterapi tujuh pusingan untuk menghalang sel kanser daripada merebak dan pada masa sama doktor juga terpaksa menebuk bahagian leher saya untuk saluran pernafasan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Ahamad Tarmizi berkata, Abdul Halim adalah pelajar FTKW yang aktif dalam kokurikulum serta cemerlang dalam akademik dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.22.

Beliau juga menyertai pasukan badan beruniform dan berjaya ditauliahkan sebagai Inspektor/KS Kor SUKSIS Universiti Awam pada Majlis Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil INSP /KS SUKSIS di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Abdul Halim juga antara pelajar aktif dalam Kelab Sastera FTKW dan pernah berkhidmat sebagai Enumerator dan Guru Tuisyen kepada kumpulan B40 di bawah program anjuran Institut Penyelidikan dan Kemiskinan (INSPEK) UMK. Selain itu, merupakan Ahli Kelab Pembimbing Rakan Siswa UMK,” katanya.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat UMK

80344061 2664707550423052 816858618845462528 o

Web Traffic

2.png8.png5.png5.png8.png8.png
Today139
Yesterday382
This week1839
This month7436
Total285588

Who Is Online

2
Online

2024-04-27

Search