GLOBAL

General

ANUGERAH INI PENGIKTIRAFAN UNTUK UNIVERSITI ~ NAIB CANSELOR UMK

ANUGERAH INI PENGIKTIRAFAN UNTUK UNIVERSITI ~ NAIB CANSELOR UMK

KOTA BHARU 11 November I Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan ( UMK) Prof Dato' Ts. Dr. Noor Azizi Ismail yang baharu sahaja dianugerahkan Darjah Ahli Yang Kehormat Kedua ( Dato Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K) yang membawa gelaran Dato' dari Sultan Kelantan, Ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Sempena Hari Keputeraan Baginda ke-50, di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan, hari ini menyifatkan penganugerahan pingat kebesaran kepada beliau dan dua orang lagi warga kerja UMK sebagai pengiktirafan untuk universiti iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Ini bukan pencapaian individu, ini adalah pencapaian universiti kerana kita telah bersama memberi sumbangan kepada kerajaan negeri di mana kita setakat ini telah melaksanakan pelbagai projek dan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri demi membangunkan negeri Kelantan yang kita kasihi ini," katanya yang ditemui di akhir majlis penganugerahan.

KDYMM Sultan Muhammad V, berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian kepada 300 penerima.

Turut berangkat mencemar duli, Tengku Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Al Marhum Sultan Ismail Petra dan isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson.

Dua lagi staf Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menerima anugerah pada hari ini ialah Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Insaniah, Prof. Madya Dr. Mohd Zain Mubarak yang menerima Ahli Yang Keempat ( Bentara) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (B.S.K.) dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, En. Shaippudin Muhammad menerima Ahli Yang Kelima (Ahli) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (A.S.K.).

Mengulas lanjut Prof. Dato’Ts. Dr. Noor Azizi berkata pelan tindakan membangunkan universiti tidak akan berjaya tanpa pembabitan pelbagai pihak dalam UMK. "Saya ingin mengaitkan kembali konsep inklusiviti yang disampaikan pada Majlis Amanat UMK pada awal Januari lalu. Kita lihat kerjasama dalaman UMK, selepas itu kerjasama antara UMK dengan pelbagai agensi dalam negeri Kelantan dan juga kerjasama di peringkat pusat. Kita bersama-sama membangunkan universiti supaya kita dapat memberi sumbangan kepada masyarakat." katanya.

Justeru, beliau berharap staf UMK bersatu hati dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dalam menggalas tugas dan amanah bukan untuk diri sendiri tetapi generasi masa depan.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

Web Traffic

2.png8.png4.png9.png5.png6.png
Today291
Yesterday347
This week1207
This month6804
Total284956

Who Is Online

1
Online

2024-04-25

Search