GLOBAL

General

UMK TAWAR DUA PROGRAM BAHARU SEMESTER DEPAN

UMK TAWAR DUA PROGRAM BAHARU SEMESTER DEPAN

BACHOK 22 Oktober I Dua program baharu, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Teknologi Maklumat Dengan Kepujian bakal ditawarkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bermula semester tahun depan.

Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi B. Ismail berkata, penawaran dua program itu selari dengan usaha UMK untuk memperkasakan program pengajian yang sedia.

"Dua program ini sedang menunggu kelulusan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia dan saya percaya tidak akan ada masalah mengenainya. Program baru ini akan menambah baik program akademik yang ditawarkan dan relevan dengan keperluan industri. Program baru ini juga akan meningkatkan jumlah pelajar di universiti ini.”

Pengumuman ini selari dengan kenyataan beliau sebelum ini berhubung kesediaan UMK untuk terbuka dengan perubahan program yang ditawarkan oleh universiti untuk kekal relevan.

Noor Azizi yang ditemui setelah selesainya Istiadat Konvokesyen ke 9 yang diadakan di UMK BACHOK turut memaklumkan mengenai Fakulti Senibina dan Ekisitik (FAE) bakal menerima graduan sulung pada Istiadat Konvokesyen UMK Ke 10 pada tahun hadapan bagi program pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, Ijazah Sarjana Muda Senibina Dalaman dan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap.

Upacara penyampaian ijazah telah disempurnakan oleh Pro-Canselor UMK, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Menurut Prof. Ts. Dr. Noor Azizi, istiadat Konvokesyen pada sidang keempat dan kelima meraikan seramai 885 graduan dari Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan serta fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

Beliau berkata, ketiga-tiga fakulti ini sentiasa komited untuk menghasilkan graduan yang diperlukan industri dan didamba oleh komuniti.

“Fakulti Perubatan Veterinar atau FPV, pada tahun 2019 merupakan genap satu dekad penubuhannya. FPV mempunyai 187 orang alumni dan bertambah kepada 228 orang alumni pada Majlis Konvokesyen UMK kali ini.

“Lebih membanggakan adalah peratus kebolehpasaran graduan FPV UMK yang melebihi 85 peratus dan ini antara tertinggi di peringkat nasional. Alhamdulillah. Kejayaan ini adalah merupakan pelaksanaan strategi yang tepat oleh pihak pengurusan FPV UMK dengan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan kualiti akademik dan membangunkan potensi sahsiah pelajar selaras dengan keperluan revolusi industri 4.0,” katanya.

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi berkata, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan atau FHPK pula proaktif membangunkan potensi pelajar berasaskan keperluan masa hadapan dan terkini FHPK telah membangunkan dua infra-makmal, iaitu Makmal Pelancongan dan Makmal Kecergasan bagi memastikan pelajar mempunyai pengalaman pembelajaran secara terus.

Katanya, FHPK turut mengambil inisiatif mendorong pelajar menimba pengalaman di peringkat antarabangsa. Justeru, seramai 10 orang pelajar FHPK terpilih menjalani latihan industri berkredit selama 1 tahun di Singapura.

Manakala, pada sidang kelima sebelum Istiadat Konvokesyen melabuhkan tirainya seramai 440 graduan dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan atau FTKW menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen tahun ini. FTKW sentiasa komited untuk menghasilkan graduan yang diperlukan industri dan menepati standard rakan kongsi.

“Bagi merealisasikannya, FTKW memperkenalkan Program Pengajian Struktur 3+1 atau PS 3+1 yang mana telah membantu meningkatkan kebolehpasaran pelajar dengan menggalakkan pelajar terlibat dalam aktiviti keusahawanan berasaskan teknologi kreatif dan warisan.

“Usaha ini diselarikan pula dengan penubuhan pusat keusahawanan, iaitu Creative Accelerator Center atau CAC dengan memfokuskan penubuhan syarikat Pemula Siswa. Melalui program ini secara langsung mendapat kerjasama erat daripada Malaysia Digital Economy Corporation atau MDEC.

Kemuncaknya, FTKW menerima pelbagai pengiktirafan seperti Anugerah Khas Menteri Pendidikan Malaysia: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif atau AKRI 2018,” katanya.

Dalam pada itu, Prof. Ts. Dr. Noor Azizi merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang menerima ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Kesembilan yang bermula pada 19 hingga 21 Oktober 2019.

Katanya, konvokesyen ini telah diadakan di dewan baharu UMK yang dikenali sebagai Dewan Tuanku Canselor. Majlis juga berjalan lancar tanpa provokasi atau kejadian yang tidak diingini daripada mahasiswa.

“Saya menzahirkan ucapan penghargaan kepada Tuanku Canselor UMK, Yang Maha Mulia Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra yang mencemar duli menyampaikan ijazah pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen dan diteruskan dengan keberangkatan Pro Canselor UMK, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam yang mencemar duli menyempurnakan penganugerahan ijazah untuk sidang kedua hingga kelima.

“Alhamdullilah, Pro Canselor juga telah mencemar duli untuk beramah mesra dengan ibu bapa dan pelajar setiap kali tamatnya sidang,” katanya.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat UMK

Web Traffic

2.png7.png7.png3.png1.png0.png
Today327
Yesterday405
This week1303
This month8201
Total277310

Who Is Online

2
Online

2024-03-28

Search