GLOBAL

General

PROSES PENDAFTARAN PELAJAR BAHARU SESI AKADEMIK 2020/2021 SECARA ONLINE BERJALAN LANCAR

PENGKALAN CHEPA 4 Oktober I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini mencatatkan seramai 2854 orang pelajar atau 76 peratus bilangan pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 yang mendaftar secara dalam talian (online) sehingga jam 3.05 petang ini.

Bagaimanapun, jumlah kemasukan pelajar itu dijangka menunjukkan peningkatan berikutan proses pendaftaran pelajar secara atas talian masih berlangsung sehingga jam 5.00 petang.

Sementara itu, proses pendaftaran pelajar secara bersemuka di ketiga-tiga kampus iaitu UMK Kampus Kota, UMK Kampus Bachok dan UMK Jeli mencatatkan seramai 60 orang pelajar atau sebanyak dua peratus.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 3780 pelajar baharu yang ditawarkan ke UMK.

Katanya, proses pendaftaran pelajar baharu itu telah berjalan dengan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Alhamdullilah, proses berjalan lancar seperti yang ditetapkan berikutan penangguhan pendaftaran pelajar secara fizikal dan pihak UMK mengambil serius terhadap Keselamatan Kesihatan pelajar dan masyarakat.

“Justeru, pendaftaran kemasukan pelajar bermula hari ini telah diadakan secara atas talian seperti saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya pada sidang akhbar sempena Minggu Mesra Mahasiswa (3M), di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 4 Oktober 2020.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Ts. Dr. Arham Abdullah dan Pendaftar UMK, Puan Mazula Sabudin.

Sementara itu, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi berkata, kebolehpasaran graduan (GE) pada tahun 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 92 peratus atau 1885 daripada 2051 orang pelajar yang telah memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Beliau berkata, manakala pelajar yang menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan ialah sebanyak 12.9 peratus atau seramai 266 berbanding 2062 orang pelajar.

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi telah menyempurnakan gimik penyerahan 34 unit UMK - VISS kepada semua Pusat Tanggungjawab (PTj) dan fakulti di UMK bagi kawalan dan pencegahan penularan pandemik Covid 19 di UMK. UMK-VISS ini adalah satu peralatan mengukur suhu yang telah dibangunkan oleh pasukan penyelidik UMK.

Gimik majlis penyerahan yang telah dilaksanakan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail ini telah disaksikan oleh ahli semua pengurusan tertinggi UMK.

Menurut Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Rasdan Pengarah Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH) UMK yang turut hadir di majlis ini, pemasangan UMK-VISS yang telah dibangunkan oleh para penyelidik dari Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi UMK ini telah bermula pada 29 September hingga 1 Oktober 2020 di UMK Kampus Jeli, di UMK Bachok dan UMK Kampus Kota.

Menurut beliau juga UMK-VISS ini telah diserahkan pengoperasian dan kendalian aset di bawah kawalan sepenuhnya setiap PTj atau fakulti yang terlibat.

“Penyerahan UMK-VISS ini juga adalah manifestasi dan simbolik komitmen berterusan pengurusan UMK dalam perjuangan mencegah penularan wabak COVID-19 di UMK dan dalam masa yang sama memupuk budaya pencegahan berpasukan #KitaJagaKita# kepada semua warga UMK,” katanya.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

Web Traffic

0.png6.png1.png1.png7.png
Today137
Yesterday177
This week1311
This month1896
Total6117

Who Is Online

1
Online

2021-04-11

Search