GLOBAL

General

TOKOH TARIAN ZAPIN SALOR DAN ZAPIN HANUMAN SALOR MAHU PERTAHANKAN WARISAN BANGSA UNTUK GENERASI MUDA

ZapinSalor9TOKOH Tarian Zapin Salor dan Zapin Hanuman Salor, En. Abdul Manaf Awang, menyarankan pihak berwajib mengangkat seni tarian itu sebagai elemen Warisan Kebudayaan Tidak Ketara ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) seperti Makyong yang di pilih sebagai satu warisan dunia yang perlu dipelihara.

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri dan persekutuan boleh memainkan peranan dengan menghidupkan semula seni Tarian Zapin Salor dan Zapin Hanuman Salor yang secara tidak langsung dapat meningkatkan warisan itu di mata dunia selain memperkembangkan minat generasi muda terhadap seni dan budaya di negara ini.

“Tarian Zapin Salor dan Zapin Hanuman Salor mungkin tidak sepopular Tarian Zapin Johor yang sinonim di kalangan masyarakat yang sering dipentaskan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa sehingga menjadi daya tarikan pelancong serta diiktiraf sebagai indentiti Negeri Johor itu sendiri.

“Walaupun telah wujud lebih 100 tahun, tarian zapin Salor masih berkembang di kalangan penduduk tempatan khususnya di beberapa daerah terutamanya di Kampung Salor, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah yang begitu giat mempertahankan warisan itu,” katanya.

Beliau berkata demikianpada majlis penutup Bengkel Warisan Zapin Salor Dan Zapin Hanuman Salor 2017 anjuran Bahagian Kebudayaan, Pusat Ko- Kurikulum, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti - Universiti Malaysia (MAKUM), di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada 8 April 2017.

Turut hadir, Pengarah Program Kemasyarakatan UMK, Prof. Madya Dr. Mohd. Anizu Mohd Nor, Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UMK, En. Mohammad Nizamuddin Abdul Rahim dan Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Puan Alifah Adnan.

Bengkel selama dua hari yang bermula 7 hingga 8 April 2017 itu mendapat penyertaan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), UMK dan Rajabhat Songkla Universiti, Thailand.

Menurut Abdul Manaf, tarian Zapin Salor dan Tarian Zapin Hanuman dikatakan telah dibawa masuk ke Kampung Salor, Pasir Mas, Kelantan sekitar tahun 1900 oleh pedagang-pedagang Arab yang berniaga dan berdakwah disini.

Katanya, tarian ini pada tujuan asal adalah untuk mengisi masa lapang para pedagang dan pendakwah yang berdagang ke negeri ini dan tidaklah terkenal seperti tarian zapin Johor kerana seni tari Zapin Salor serta Zapin Hanuman Salor mempunyai langkah tari yang pantas dan agresif.

“Tarian ini sewajarnya dipertahankan dan diperjuangkan dalam usaha untuk memperkembangkan sejarah tari tersebut sebagai karya agung yang perlu diperlihara dan dipelajari serta dihayati oleh generasi masa kini.

“Pada zaman kegemilangannya, kumpulan kami pernah mengadakan persembahan sempena Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Mulia Sultan Kelantan serta dijemput untuk membuat persembahan pada majlis-majlis kenduri kahwin,” katanya.

Tambah Abdul Manaf atau mesra disapa dengan nama Abah memberitahu kumpulan kami juga turut menyertai pertandingan tarian zapin yang diadakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pernah menjadi juara pada pertandingan di Singapura.

Sementara itu, En. Mohammad Nizamuddin berkata, penganjuran bengkel Tarian Zapin Salor dan Zapin Hanuman Salor adalah bertujuan menjadikan UMK sebagai pusat rujukan kajian serta penyelidikan untuk seni warisan dan budaya melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan.

Beliau berkata, pelaksanaan program ini juga adalah untuk menghidupkan kembali seni tari zapin yang pernah bertapak di negeri Kelantan kepada generasi muda dalam usaha untuk membantu universiti mencapai objektifnya untuk menguasai pelbagai bidang seni budaya.

“Pihak UMK boleh memainkan peranan dalam membuat koleksi bahan sejarah untuk didokumentasikan dan sekaligus menjadi pakar rujuk di dalam memartabatkan seni warisan Tarian Zapin Salor dan Zapin Hanuman Salor di Negeri Kelantan,” katanya.

Tambah beliau, penggiat dan tokoh budaya ini kebanyakannya telah berusia tetapi masih bersemangat untuk menyumbangkan serta mengangkat seni budaya ini melalui kerjasama yang diberikan untuk berkongsi pengalaman.

“Bahagian Kebudayaan, Pusat Ko-Kurikulum telah mengadakan pelbagai siri bengkel serta kursus berkaitan budaya seperti rebana kercing, tarian rebab, makyong, tari inai dan terbaru tarian zapin.

“Justeru itu, kita akan bekerjasama dengan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan untuk menjadi pusat menyimpan khazanah dan menjadi pusat rujukan kepada para penyelidik,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Fasilitator Bengkel Tarian Zapin Salor, En. Mohd Hazlami Harun, berkata, tarian zapin Salor dibawa oleh pedagang yang berasal daripada Yemen iaitu Sheikh Abdullah bersama keluarganya yang datang berdagang kain ke Kampung Salor sebelum diketengahkan oleh Tengku Mahmud pada tahun 1900.

“Gerakan tari zapin Salor pada asas adalah datang dari Arab dan ragam-ragamnnya dicipta melalui alam semulajadi dan alam persekitaran manakala dari segi gerak tari zapin salor mempunyai tatatertib yang sangat halus iaitu bila bergerak kaki kena dalam keadaan sopan dan lemah lembut tanpa menampakan kaki.

“Terdapat beberapa jenis ragam zapin Salor dan Hanuman Salor diantaranya siku keluang, decok, gelombang, gelombang dua, gelombang tiga, semerang, wakaf siku, nombor 8 dan pusing tengah,” katanya.

Menurut Mohd Hazlami, di dalam ragam-ragam zapin salor terdapat gerak yang selalu dipersembahkan iaitu Gerak Acah dimana gerak ini diambil daripada permainan tradisional yang amat popular di Kelantan iaitu Galah Panjang (Choh) dan gerakan kuis kaki dimana gerak ini dimabil daripada pergerakan ayam menguis kaki untuk mencari makanan.

“Manakala, tarian Zapin Hanuman Salor mendapat nama melalui tarian zapin yang diilhamkan oleh Mat Nor dan Jaafar yang meniru pergerakan kera liar yang sering bermain-main di kawasan latihan dimana gerak tarinya agak laju dan bertenaga.

“Pada masa itu, Tengku Mahmud salah seorang penggiat tarian zapin ini telah membuat perubahan sebelum penubuhan zapin salor, pakaian pada masa itu adalah jubah putih dengan kain serban putih dan tarbuh Turki dengan menukarkan pakaian diubah kepada baju Melayu hitam sepasang bersamping dengan songkok pendek,” katanya.

ZapinSalor3ZapinSalor3

Web Traffic

2.png8.png3.png0.png4.png9.png
Today55
Yesterday273
This week1400
This month4897
Total283049

Who Is Online

1
Online

2024-04-19

Search