GLOBAL

General

CAPRIBOS CIPTAAN UMK BANTU PERTINGKAT KESIHATAN LEMBU, KAMBING

PENTERNAKAN adalah antara industri terpenting dalam negara khususnya dalam membekalkan sumber makanan negara melalui ternakan haiwan ruminan seperti kambing dan lembu.
Haiwan ini digunakan untuk bekalan daging mentah, produk tenusu mahupun keperluan lain dalam industri makanan.

Justeru itu, kesihatan dan pertumbuhan yang baik harus dipastikan bagi membolehkan ternakan mampu memenuhi keperluan semasa yang ketika ini masih bergantung kepada bekalan import luar negara.

Melihat keperluan itu, sekumpulan penyelidik dan pelajar daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diketuai oleh Teknologis Profesional (TS) Nor Dini Rusli mencipta inovasi makanan tambahan kepada haiwan ruminan iaitu CapriBos Multinutrient Block.

TS Nor Dini berkata, nama CapriBos diambil sempena nama Caprine yang bermaksud subfamily biri-biri dan kambing, manakala Bos bermaksud genus lembu liar dan domestik (tempatan).

Katanya, makanan tambahan haiwan ruminan itu dicipta dalam bentuk blok (segiempat) dengan multi-nutrien lengkap menggantikan blok garam dengan membekalkan tenaga, protein atau nitrogen bukan protein (NPN), kalsium, ferum, zink, fosforus, tembaga dan vitamin kepada haiwan ruminan.

"Di Malaysia kebanyakkan penternak menggunakan blok mineral (garam) komersil sebagai tambahan kepada haiwan ruminan mereka, tetapi amalan ini bertujuan untuk meningkatkan selera makan haiwan sahaja.

"Bukan untuk mengatasi kekurangan protein dan tenaga, malah pendekatan ini dianggap tidak menjimatkan kos kerana sebahagian besar blok garam di pasaran adalah diimport," katanya.

Beliau berkata, sedangkan dalam konteks industri ternakan di Malaysia, diketahui bahawa haiwan ruminan tempatan lambat dalam pertumbuhan dan pembiakan.
Katanya, ini berlaku kerana kualiti makanan dan pemakanan haiwan ruminan tempatan adalah rendah sehingga menyebabkan populasi haiwan ruminan dalam negara menurun sebanyak tiga (3) peratus dari tahun 2012 hingga 2016.

Tambahnya, oleh itu bermula tahun 2015 hingga 2018, UMK menerusi Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) Kampus Jeli melahirkan idea mencipta makanan tambahan itu bagi menggalakkan pertumbuhan dan kesihatan haiwan ruminan.

"CapriBos Multinutrient Blok ini bukan sahaja membekalkan pelbagai nutrisi tetapi mampu mencegah wabak penyakit haiwan ternakan seperti serangan parasit dan cacing," katanya.
TS Nor Dini berkata, makanan tambahan ini diberi dalam bentuk jilatan dan boleh diberikan kepada semua ruminan seperti lembu, kambing atau biri- biri kecuali bagi yang berumur bawah lima (5) bulan.

Katanya, penggunaan makanan tambahan ini juga dapat mengelakkan ternakan memakan bahan asing seperti tanah, batu, tulang, beg plastik, pakaian atau sebagainya.

TS Nor Dini berkata, projek inovasi itu dilaksanakan bersama TS Dr. Khairiyah Mat, TS Dr. Hasnita Che Harun, Dr. Syed Al-Amsyar, Mr. Mohd Mahmud dan tiga (3) pelajar FIAT di bawah geran Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng daripada syarikat industri, Kumpulan Epic Valley Holding berjumlah RM212,800.00.

Tambah beliau, selepas menggunakan CapriBos kepada ternakan mereka, penternak mendapati peningkatan pengeluaran susu kambing dan lembu, pertumbuhan lebih cepat, mengurangkan kos ubatan ternakan kerana haiwan menjadi lebih sihat dan mengurangkan penyakit parasit sehingga 31 peratus.

"CapriBos Multinutrient Blok dihasilkan daripada bahan makanan tempatan, jadi kosnya lebih murah, ternakan lebih sihat dan ini meningkatkan prestasi ruminan sebagai bekalan makanan negara," katanya.

Hasil kejayaan itu juga, produk ciptaan UMK ini terpilih mewakili Universiti ke Seoul International Invention Fair 2019 dan memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Emas di The 11th Creation, Innovation, Technology And Research Exposition (CITREX) 2021, Anugerah Emas International Conference and Exposition on Inventions (PECIPTA) 2019, Anugerah Perak di Majlis Anugerah Penyelidikan dan Inovasi 2018 UMK, Anugerah Gangsa di Asia Pacific Conference on Food Security (ARCOFS) 2018 Best Innovation Category dan banyak lagi.

Katanya, kini CapriBos sudah dipasarkan ke serata negara melalui jualan platform online seperti Shopee, dan kerjasama bersama pihak industri dan pengusaha ruminan seperti Bumi Agritech Sdn. Bhd., Koperasi Veterinar Berhad, Urban Agro Yields Sdn. Bhd. dan Yusof Eco Farm.

Web Traffic

2.png8.png4.png8.png9.png6.png
Today231
Yesterday347
This week1147
This month6744
Total284896

Who Is Online

2
Online

2024-04-25

Search