GLOBAL

General

PRODUK INOVASI UMK MENANGI GERAN PENYELIDIKAN

TIGA produk inovasi pelajar Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memenangi geran penyelidikan berjumlah RM120,000.00.

Kemenangan itu diraih pada Pertandingan Malaysia Social Innovation Accelerator Program (MYSIAP), dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), baru-baru ini.

Produk tersebut dikenali Gummi Cuka Rambutan Perasa Tembikai yang dihasilkan Nur Amira Azmi dan Nurul Hasanah Mohd Zaini. Mereka mendapat bimbingan Dekan FIAT, Prof. Madya Dr. Seri Intan Mokhtar.

Turut mendapat kejayaan produk Massage Bar Added with Watermelon Skin Extract and Mint oleh Nur Dini Dayana Zamzuri, di bawah bimbingan pensyarah FIAT, Ts. Dr. Siti Nuurul Huda.

Turut memenangi geran tersebut produk inovasi Pink Guava Pomace Powder for Bread Making dihasilkan Fazilawati Shaari, di bawah bimbingan pensyarah kanan FIAT, Dr. Khomaizon Abdul Kadir Pahirul Zaman dan Dr. Nurhanan Abdul Rahman. 

Dengan kejayaan cemerlang itu masing-masing menerima geran penyelidikan berjumlah RM40,000.00 dari Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) MOSTI.

Menurut Pengarah Kanan Institut Keusahawanan UMK (UMKEI), Prof. Madya Dr. Mohammad Ismail, ketiga-tiga projek tersebut berjaya melepasi saringan pada peringkat awal sesi pembentangan yang telah diadakan pada 24 dan 25 Mei lalu secara dalam talian.

Katanya, ketiga-tiga projek tersebut berjaya disenarai pendek untuk pertandingan peringkat seterusnya selepas dipilih untuk sesi pembentangan peringkat akhir pada 17 dan 18 Jun lepas secara dalam talian.

“Alhamdulillah, semua yang dirancang berjalan lancar di mana tiga (3) daripada empat (4) projek penyelidikan yang dipertandingkan oleh UMK berjaya memenangi geran penyelidikan tersebut.

“Pihak UMKEI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Pengarah Kanan UMKEI Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad kerana kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara fakulti, pensyarah pembimbing dan UMKEI.

“Semoga dengan penyertaan dalam pertandingan seperti ini menjadi dorongan dan semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk mengentengahkan produk-produk inovasi yang telah mereka hasilkan,” ujarnya lagi.

1

3

Web Traffic

2.png8.png5.png4.png9.png2.png
Today43
Yesterday382
This week1743
This month7340
Total285492

Who Is Online

2
Online

2024-04-27

Search