GLOBAL

General

KEMASUKAN PELAJAR KE KAMPUS BERMULA 15 OKTOBER 2021

BACHOK 16 September I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang giat melakukan persiapan untuk menerima kemasukan pelajar Sesi Akademik 2021/2022.

Pembukaan semula ini adalah selaras dengan kenyataan rasmi yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Noraini Ahmad, untuk Kemasukan Pelajar Ke Kampus Institusi Pendidikan Tinggi Secara Berperingkat Bermula 15 Oktober ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, proses kemasukan pelajar ke tiga (3) kampus juga akan dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UMK berkata, kemasukan pelajar UMK ke kampus dianggarkan seramai 6078 orang pelajar.

"Namun, bilangan pelajar yang akan dibenarkan hadir masih tertakluk kepada kapasiti asrama yang telah ditetapkan oleh pihak Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) untuk kesemua kampus.

"Manakala, untuk kaedah pembelajaran dan pengajaran pihak UMK bersetuju PdP bagi Sesi Akademik 2021/2022 dilaksanakan secara hibrid selaras dengan Pekeliling Akademik Bilangan 5/2021-Pemakluman Mengenai Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP) Bagi Sesi Akademik 2021/2022," katanya.

Menurut beliau, enam (6) kategori pelajar berkeperluan dibenarkan ke kampus ialah pelajar praktikal dari program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, studio, bengkel dan peralatan khas.

"Pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian, pelajar asasi atau setara dan diploma yang telah sedia ada di kampus, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, Pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan professional.

"Sehubungan itu, pelajar UMK yang berhasrat untuk masuk ke kampus perlu memenuhi syarat seperti telah lengkap dua (2) dos vaksin dan kebenaran masuk akan ditentukan oleh pihak fakulti. Kadar pengiraan kapasiti asrama ini juga mengambil kira SOP penjarakan dan kuarantin," katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Nik Maheran berkata, pendaftaran pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2021/2022 akan dilaksanakan secara dalam talian pada 2 Oktober 2021, manakala kelas bagi pelajar baharu dan kanan akan bermula pada 10 Oktober 2021.

Katanya, kehadiran secara fizikal ke UMK adalah tertakluk kepada pekeliling dan arahan daripada KPT, MKN serta Universiti.

"UMK juga mempunyai pelan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran-Dalam Talian (PdP-DT) Fasa ke-4 yang dirancang iaitu Pembelajaran Dalam Talian sepenuhnya menggunakan platform rasmi LMS eCampus untuk semua kursus yang tidak memerlukan bersemuka kecuali PdP yang melibatkan makmal, bengkel dan studio.

"Pembelajaran Hibrid iaitu pembelajaran bersemuka untuk pelajar dalam kampus dan pembelajaran dalam talian untuk pelajar luar kampus yang berlaku serentak.

"Pembelajaran Teradun Gantian masih boleh dilaksanakan dengan maksimum 80 peratus dalam talian dan 20 peratus secara bersemuka," katanya.

Web Traffic

2.png8.png5.png2.png1.png8.png
Today151
Yesterday402
This week1469
This month7066
Total285218

Who Is Online

1
Online

2024-04-26

Search