KEJAYAAN

Kejayaan

UMK CEMERLANG DI PENYERTAAN SULUNG SIIF 2019 KOREA

UMK CEMERLANG DI PENYERTAAN SULUNG SIIF 2019 KOREA

SEOUL 30 NOV I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) buat julung-julung kalinya telah menghantar penyertaan sulungnya dengan mempertandingkan 3 produk penyelidikan di Seoul International Fair (SIIF) 2019 di COEX Convention and Exhibition Center, Seoul-si Gangnam-gu Samseong-dong Seoul, Korea Selatan bermula 27 sehingga 30 November 2019. SIIF merupakan salah satu pameran terbesar di dunia yang lebih dikenali dengan jolokan ’gerbang ke pasar dunia’. Bermula pada tahun 1982, dulunya dikenali sebagai Korea Patent Technology Exhibition mendapat sambutan yang luar biasa di kalangan penggiat industri dan pelabur dunia.


SIIF ditaja secara rasmi oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) dan Persekutuan Persatuan Pencipta Antarabangsa (IFIA). Penganjuran SIIF 2019 ini adalah penganjuran ke 15 yang diadakan setiap tahun di Seoul, Korea. Sejumlah 625 produk penyelidikan dan inovasi dari 27 negara termasuk United Kingdom, Malaysia dan Thailand dipamerkan pada SIIF 2019 yang berlangsung selama 4 hari.


SIIF 2019 ini menjadi platform kepada penyelidik UMK untuk meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), meningkatkan jalinan dan jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa, pemindahan teknologi, visibility UMK di kalangan pemain industri di luar negara terutamanya di Korea.

Pengarah Kanan Pusat Pengurusan dan Penyelidikan (RMIC) UMK, Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, berkata kesemua produk penyelidikan inovasi yang dipertandingkan pada kali ini membuktikan universiti sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah membudayakan penyelidikan khususnya kepada ahli akademik dan penyelidik di universiti di peringkat antarabangsa.

Katanya, 3 produk yang mengambil bahagian ini adalah antara signature product ke arah pengkomersialan produk inovasi untuk di bangunkan kepada industri dan sekaligus dikembangkan kepada masyarakat sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

Menurut Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan Dan Inovasi (RMIC), Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman berkata, RMIC mengambil inisiatif mengetengahkan inovasi yang telah dikenalpasti agar mengambil peluang supaya dapat dijadikan platfom serta batu loncatan untuk memperkenalkan inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik UMK sekaligus memasarkan produk ciptaan mereka di peringkat global. Penyertaan ke SIIF 2109 ini bukan sahaja untuk menjadi peserta pertandingan inovasi, bahkan mempromosi serta menjual inovasi ciptaan penyelidik UMK di peringkat antarabangsa.

Sebanyak tiga projek telah dipertaruhkan iaitu produk AcBioC ciptaan Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Bin Abdullah dari Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), produk Premium Multiblock: Multi Solution For Ruminants ciptaan Puan Nor Dini Binti Rusli dari FIAT dan produk Integrated Kenaf Bio-Processing System Biozyme Ultimate Debark Unit (B.U.D.U) ciptaan Dr Mardawani Mohamad dari Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT).

Menurut Pengarah Harta Intelek dan Pengkomersilan (ICD) RMIC UMK Prof Madya Ir Dr Julie Juliewatty, dalam pertandingan kali ini, UMK telah menghantar projek-projek yang telah berjaya meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas dan anugerah khas bagi pertandingan inovasi yang telah diadakan sepanjang tahun 2019 sebelum terpilih ke SIIF Korea ini.

Menurut beliau lagi, penyelidik-penyelidik UMK telah menunjukkan pencapaian yang amat cemerlang pada penyertaan sulung di SIIF 2019 kali ini apabila projek Prof. Madya Dr. Palsan Sannasi Bin Abdullah telah memperolehi pingat emas dan anugerah khas Federation of Korean Industries manakala Dr Mardawani Mohamad memperolehi pingat emas dan anugerah khas Thailand Special Award For The Best International Invention & Innovation. Ini menunjukkan bahawa projek inovasi UMK adalah setanding dan diterima di peringkat antarabangsa.

Kejayaan ini merupakan satu pencapaian besar buat UMK memandangkan ini merupakan kali pertama UMK menyertai pameran SIIF ini. Sokongan daripada pihak YBhg Dato’ Naib Canselor dan pengurusan tertinggi UMK telah banyak melancarkan proses bermula dari pendaftaran sehingga kepada pelepasan peserta, yang mana Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor sendiri turut meraikan pelepasan para peserta (flag-off).

Semoga dengan kejayaan ini dapat menyuntik semangat warga UMK untuk terus memartabatkan agenda penyelidikan dan inovasi di UMK serta mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Oleh:
Pusat Komunikasi Korporat.

Web Traffic

2.png8.png3.png0.png1.png0.png
Today16
Yesterday273
This week1361
This month4858
Total283010

Who Is Online

1
Online

2024-04-19

Search