KEJAYAAN

Kejayaan

UMK DALAM SENARAI PENERIMA SIJIL PEMATUHAN SAGA DARI JANM

UMK DALAM SENARAI PENERIMA SIJIL PEMATUHAN SAGA DARI JANM


JOHOR BHARU 3 Disember | Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah tersendiri apabila dianugerahkan Sijil Pematuhan Standard Accounting System for Government Agencies (SAGA) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia(JANM). Pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh Akauntan Negara Malaysia, Dr. Yacob Mustafa kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah yang mewakili Naib Canselor, pada Majlis Anugerah Sijil Pematuhan SAGA 2019 yang berlangsung di di Holiday Villa Johor Bahru City Centre, Johor Bharu, semalam.

Turut hadir, Bendahari, Puan Junaidah Badar dan Pengarah CCI, Encik Wan Azlee Hj. Wan Abdullah. Anugerah tersebut adalah pengiktirafan di atas pencapaian dalam membangunkan sistem perakaunan dan kewangan oleh agensi-agensi kerajaan dengan mematuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh pihak JANM. Sehingga tahun 2019, hanya 80 agensi kerajaan yang telah menerima pengiktirafan pematuhan SAGA dari lebih 400 agensi kerajaan yang terdiri daripada Badan Berkanun Persekutuan (BBP), Badan Berkanun Negeri (BBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Pada tahun 2019 ini hanya 10 agensi berjaya menerima pengiktirafan tersebut dan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan penerima anugerah terbanyak iaitu Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Majlis Peperiksaan Malaysia dan Malaysian Qualification Agency.

Menurut Pn. Junaidah, sistem perakaunan dan kewangan UMK menggunakan sistem SAGA yang dibangunkan oleh pihak vendor yang dilantik dan berintegrasi dengan beberapa subsistem maklumat lain yang digunakan dalam operasi kewangan di Universiti ini. Beliau menyifatkan, pengikitirafan ini penting bagi universiti untuk memastikan penyata kewangan dapat disediakan dengan lebih cepat, tepat, kemaskini, berintegriti, mematuhi piawaian perakaunan yang diterima pakai serta memantapkan pengurusan perakaunan dan kewangan Agensi Kerajaan. “Penarafan sijil ini menjamin keselamatan sistem, data dan maklumat dari aspek kerahsiaan (confidentiality), integriti (integrity) dan ketersediaan (availability) bagi melindungi data dan maklumat yang diperolehi terpelihara, lengkap dan boleh diakses pada bila-bila masa,” katanya.

Tambah beliau, penilaian Audit Pematuhan SAGA bagi sistem aplikasi perakaunan dan kewangan ini telah dinilai oleh panel Jawatankuasa Penilaian Standard Accounting System for Goverment Agencies (SAGA), Jabatan Akauntan Negara di UMK Bachok, pada Oktober lalu. Penilaian ini seterusnya telah dinilai oleh Jawatankuasa Pemandu SAGA sebelum sesebuah organisasi itu layak mendapat pengiktirafan dan dianugerahkan sijil. “Alhamdulillah, dengan persediaan rapi dan kerjasama baik Pejabat Bendahari dan CCI pada sesi penilaian tersebut kami berjaya merealisasikan Audit Pematuhan SAGA melalui pembentangan kertas kerja kepada Jawatankuasa Penilaian SAGA, JANM baru-baru ini.“Setiap sistem perakaunan jabatan mestilah mematuhi reka bentuk sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang diluluskan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan Kriteria Pematuhan SAGA,” katanya.
Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

Web Traffic

2.png7.png7.png6.png1.png7.png
Today231
Yesterday403
This week1610
This month8508
Total277617

Who Is Online

1
Online

2024-03-29

Search