KEJAYAAN

Kejayaan

LARGEST "MENGADAP REBAB" PERFORMANCE & PERASMIAN KUMPULAN MAK YONG BUNGA EMAS SRI TEMENGGONG

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) sekali lagi berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas kejayaan menganjurkan persembahan tarian 'mengadap rebab' terbesar, iaitu tarian simbolik kepada pembuka tirai persembahan tradisional mak yong.

Seramai 500 peserta mempersembahkan tarian mengadap rebab secara serentak itu bukan sahaja diiktiraf sebagai penyertaan teramai malah berjaya memahat nama UMK dalam MBOR selaku Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama mengadakan persembahan tersebut.

Persembahan julung kali itu menggabungkan penari makyong bukan profesional yang terdiri daripada 300 pelajar UMK; 150 pelajar sekolah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab (1), SK Zainab (2), SK Penambang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra (SMIP) serta 50 lagi dari Pertubuhan Jalinan Anak Seni Teater, Tari dan Sastera (JASTERA).

Bukan sekadar menyajikan satu kelainan tetapi usaha oleh UMK dalam memartabatkan seni kebudayaan tradisional berjaya memukau para tetamu dan hadirin melalui penggunaan alat muzik tradisional dan props yang membangkitkan suasana seolah-olah berada di majlis keraian yang diadakan di sebuah istana persis di zaman Kesultanan Melayu dahulu kala.

Ditambah pula penggunaan cahaya membangkitkan lagi semangat makyong yang perlahan-lahan meresap pada hadirin apabila dipentaskan di Dewan Keusahawanan UMK yang bercirikan tradisional sekaligus menaikkan suasana dan mood penonton seolah-olah turut berada ruang utama Balai Rhong Seri di Istana zaman pemerintahan kesultanan.

 Kemunculan anak kandung kepada Primadona Makyong, Khadijah binti Awang, iaitu Pn. Norhayati binti Zakaria yang membimbing persembahan tarian mengadap rebab adalah kemuncak kepada majlis itu yang berjaya menyingkap kembali suasana kegemilangan makyong suatu ketika dulu.

Lebih manis lagi, kejayaan itu turut disaksikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaaan Malaysia, YB. Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, yang turut menyempurnakan majlis mencipta rekod tersebut.

Menurut YB. Dato’ Seri Mohamed Nazri, penglibatan pelajar dalam Tarian Mengadap Rebab bukan sahaja dapat memperkenalkan warisan budaya yang sudah hampir pupus tetapi dapat mewujudkan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum di kalangan mereka.

Beliau berkata, perkara ini sangat penting sebagai persediaan kepada pelajar dalam menempuh alam pekerjaan kelak.“Saya percaya bahawa pengurusan seni persembahan juga dapat diaplikasikan dalm pengurusan kerja harian dan juga pengurusan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Largest Mengadap Rebab Performance Malaysia Book of Record dan Perasmian Kumpulan MakYong Bunga Emas Seri Temenggong UMK, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 22 September 2014.

Sebelum itu, YB. Dato’ Seri Mohamed Nazri menandatangani dan menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan daripada Pegawai Eksekutif MBR, YBrs. Helilia Juana Hashim kepada YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan bin Hj. Che Rose.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan bin Hj. Che Rose, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, YBhg. Datuk Norliza Rofli, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, YBhg. Dato’ Mohd Kamil bin Mohd Ali dan Pengarah Bahagian Pengiklanan Tourism Malaysia, YBhg. Dato’ Abdul Khani bin Daud.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Roselina binti Ahmad Saufi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Abd. Aziz bin Ab. Latiff, Pendaftar UMK, YBhg. Prof. Dr. Razli bin Che Razak dan Dekan HEP, YBhg. Prof. Dr. Nik Maheran bin Nik Mohamed.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Seri Mohamed Nazri, berharap dalam aspek yang lebih mustahak, UMK juga telah diberi pengiktirafan untuk mengangkat Kumpulan Mak Yong Seri Temenggong yang telah tenggelam sejak peninggalan pelopornya iaitu Primadona Khadijah Awang.

Tambah beliau, sejarah menyaksikan Mak Yong telah melaui pelbagai arus zaman sehinggalah kemasukan pengaruh- pengaruh budaya Barat pada zaman penjajahan Bristish yang telah memalapkan persembahan Mak Yong.

Dengan pemergian penerima Seniman Negara Ke-4, Primadona Khadijah Awang pada tahun 2000, kita ditinggalkan olehnya, anak-anak bangsa yang masih haus dan dahagakan seni warisan ini.

“Saya percaya, dengan penyerahan nama Kumpulan Bunga Emas Seri Temenggong oleh Pn Noorhayati Zakaria anak kandung Primadona Khadijah Awang yang juga penggiat Mak Yong kepada UMK, legasi Mak Yong akan terus terbela dan mampu ke peringkat antarabangsa,” jelas beliau.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau menzahirkan rasa bangga dengan usaha UMK memartabatkan seni warisan tradisional dan mahu universiti itu berkongsi ilmu dan kemahiran dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta menjadi rujukan dalam perancangan aktiviti kempen 'Tahun Melawat Malaysia 2014' dan 'Year Of Festival 2015'.

“Pihak kementerian amat menyokong inisiatif UMK kerana menurutnya, seni dan budaya adalah salah satu cabang menarik kedatangan pelancong ke negeri ini sekali gus dapat memastikan ia tidak terhakis dan dilupakan generasi akan datang.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Raduan berkata, sebagai universiti termuda di negara ini pencapaian akademik adalah menjadi keutamaan namun dengan pelbagai langkah strategik UMK juga mengambil pendekatan kepada warganya untuk menguasai aktiviti ko-kurikulum.

Beliau percaya bahawa dengan bejaya menguasai aktiviti ko kurikulum dan akademik yang seimbang kita dapat membentuk generasi yang cemerlang di masa hadapan.

“Oleh demikian dengan beberapa strategi yang telah diatur kita berusaha untuk memecahkan rekod pada malam ini dengan menganjurkan persembahan tarian mengadap rebab oleh 500 pelajar-pelajar UMK dan murid sekolah,” katanya.

Menurut Prof. Datuk Dr. Raduan, selain matlamat untuk mencipta rekod tersebut, pihak universiti juga berusaha untuk menjuarai agenda perpaduan nasional menerusi penganjuran program ini.

Katanya, satu pertiga daripada peserta malam ini bukan berbangsa Melayu dan ini adalah model perpaduan masyarakat Malaysia yang mahu dijuarai pihak universiti dan perlu diterap dari masa ke semasa.

“UMK sebagai universiti yang berpegang kepada moto unik dan berbeza akan cuba mencipta rekod lain. Sebelum ini, pihak universiti sebelum ini pernah mencatat rekod penanaman 'coral' terbanyak sebanyak 1,252 ranting di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu pada September tahun lalu,” ujarnya.

Beliau berkata, UMK berhasrat menjadikan Kampus Kota di Pengkalan Chepa sebagai sebuah pusat pelancongan yang terbuka untuk semua pengunjung yang boleh menikmati persembahan kebudayaan dan kesenian selain keindahan lanskap serta produk keusahawanan yang disediakan di situ.

“Kita telah mulakan dengan aktiviti itu dengan menwarnakan seluruh jalan tar di dalam kampus dengan cat merah, pemasangan payung yang berwana-warni, bangunan dewan yang bercirikan tradisional kontemporari dan kampus berkonsepkan taman.

“Ini sebagai permulaaan untuk kita membudayakan aktiviti pelancongan supaya kita dapat bekerjasama dengan pihak Kemneterian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk menarik pelancong ke negeri Kelantan,” katanya.

rebab5

rebab2

Web Traffic

2.png8.png4.png2.png2.png1.png
Today184
Yesterday288
This week472
This month6069
Total284221

Who Is Online

8
Online

2024-04-23

Search