KEJAYAAN

Kejayaan

JUAL PES ODEN SEGERA, USAHAWAN PELAJAR UMK SASAR JUALAN RM1 JUTA

BACHOK - Siapa sangka, bermula dengan menjual oden yang sedia dimakan di tapak gerai keusahawanan pelajar, dua pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini boleh berbangga dengan produk keluaran mereka iaitu Perencah King Oden.oden

Produk perencah King Oden itu diusahakan Imer Jibril Mohd Nasir dan rakan kongsinya, Wan Azehan Helmi Wan Abdul Halim yang juga penuntut di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) UMK.

Produk perencah yang diinspirasikan daripada makanan yang popular di kedai serbaneka berasal dari negara matahari terbit itu turut tular di media sosial malah pes segera King Oden itu laris dan berjaya mencecah jualan sebanyak RM950,000 pada tahun lepas.

Lebih membanggakan lagi, hasil usaha keras Imer Jibril yang baru saja menamatkan pengajian tahun lalu dan Wan Azehan Helmi yang merupakan penuntut tahun akhir di FKP, kini mereka berdua sudah berjaya memiliki sebuah kilang pemprosesan yang terletak di Bachok, Kelantan.

Usaha itu cukup mengagumkan kerana kedua-dua pelajar berkenaan bukanlah memiliki kepakaran memasak tetapi berjaya menghasilkan pes oden yang digemari ramai menggunakan resipi yang diadun dengan rempah ratus segar dan sensasi asli tom yam serta sesuai disajikan dengan bebola ikan, daging, isi ketam, sosej dan lain-lain.

Berkongsi mengenai pembabitan awal dalam dunia perniagaan produk Perencah King Oden itu, Imer Jibril atau lebih mesra dengan panggilan Jibril, berkata beliau dan rakan kongsi mula mengasaskan perniagaan perencah oden segera berjenama King Oden bermula pada tahun 2019.

“Pada awalnya, kami bermula dengan menjual oden sedia dimakan di tapak gerai keusahawanan pelajar yang disewa di bawah seliaan Pusat Pembangunan Pendidikan Keusahawanan (CEED), Institut Kesahawanan UMK (UMKEI) yang terletak di UMK Pengkalan Chepa.

"Pendapatan hasil jualan oden yang di usahakan secara kecil-kecilan itu mencecah sekitar RM1,000 ke RM1,500 sehari tetapi malangnya, setiap kali cuti semester, hasil jualan kami terjejas teruk berikutan ketiadaan pelajar di kampus," kata beliau.

Sejak peristiwa itu, Jibril dan Wan Azehan Helmi mula mendapat idea untuk mengkomersialkan produk perencah oden segera dengan jenama King Oden secara paket bagi mengembangkan lagi pasaran perniagaan mereka.

“Alhamdullilah, strategi kami berjaya dan bermula dari situlah, kira-kira 30,000 paket King Oden telah diedarkan di seluruh negara setiap bulan melalui 500 ejen yang dilantik bagi pasaran secara online dan offline.

"Perencah King Oden ini dijual dengan harga RM10 satu pek untuk tiga jenis perisa iaitu asli, pedas dan asam laksa yang telah menerima sambutan luar biasa sehinggalah stok pengeluarannya habis dalam tempoh yang singkat," katanya yang mula menjadi rakan kongsi sejak tahun pertama menuntut di UMK iaitu pada 2017.

Menurut Jibril lagi, sebelum ini mereka sudah mencuba pelbagai jenis perniagaan bermula daripada jualan kurta untuk musim perayaan, air balang di pasar malam, pisang goreng di ruang niaga (kiosk) sewaan, perniagaan percetakan, fotostat, lanyard dan baju printing untuk pelajar.

“Tetapi nasib tidak menyebelahi kami pada waktu itu kerana adat dalam perniagaan ada untung dan rugi sehinggalah idea untuk memasarkan perencah King Oden secara komersial ini berjaya.

"Fokus utama kami pada tahun ini adalah untuk mencapai jualan tahunan RM 1 juta dan bagi memastikan misi ini tercapai, saya diberi amanah untuk mengurus kewangan syarikat serta ejen-ejen jualan, manakala rakan kongsi saya pula diberi tanggungjawab menguruskan penghasilan dan pemasaran produk," katanya lagi.

Bersesuaian dengan bidang pengajian yang diikuti, kedua-dua anak muda itu turut berkongsi kemahiran dan kepakaran yang diperolehi ketika belajar di UMK dengan ejen-ejen king Oden di seluruh negara malah turut memantapkan lagi ilmu pemasaran digital dan media sosial.

Kedua-duanya usahawan muda itu turut mendapat bantuan, bimbingan dan khidmat nasihat daripada dua pensyarah FKP iaitu Ts Dr Muhammad Ashlyzan Razik dan Dr Shah Iskandar Fahmie Ramlee.

oden4

Web Traffic

2.png7.png7.png5.png7.png9.png
Today193
Yesterday403
This week1572
This month8470
Total277579

Who Is Online

2
Online

2024-03-29

Search