KEJAYAAN

Kejayaan

UMK RAIH PINGAT EMAS ‘INTERNATIONAL UNIVERSITY CARNIVAL’

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya meraih pingat emas di International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2021 bagi kategori penciptaan, inovasi dan rekabentuk e-pembelajaran.

UMK diwakili Pasukan Badan Beruniform Briged Gayong (UKU10502) menyertai pertandingan IUCEL 2021 yang dihoskan Universiti Utara Malaysia (UUM) diadakan secara dalam talian pada 15 dan 16 Jun lepas.

Platform itu mempamerkan idea inovasi baru berkaitan pengajaran dan pembelajaran di peringkat pengajian tinggi dan politeknik.

Ia sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini serta selaras dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berikutan penularan pandemik Covid-19.
Penasihat Briged Gayong UMK, Razman Hafifi Redzuan berkata, kejayaan Smart Sistem Briged Gayong dihasilkan untuk memperkenalkan proses pengajaran ilmu gayong melalui inovasi baharu.

Katanya, kejayaan sebagai pengiktirafan kepada Pusat Kokurikulum dan Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Akademik (PKPA) UMK selaku perintis Program Briged Gayong Berkredit di universiti awam.

“Walaupun kita masih bergelut dengan pandemik Covid-19, namun ia tidak mematahkan semangat tinggi ditunjukkan pasukan Briged Gayong UMK untuk mempamerkan kecemerlangan,” katanya di sini.

Menurutnya sistem itu diperkenalkan sebagai idea baharu dalam bidang pengajaran dan inovasi pembelajaran.

Idea itu menggabungkan tiga teras iaitu seni silat gayong, badan beruniform dan akademik.

Penggunaan Smart Sistem e-Briged Gayong (BGM) dibangunkan dengan empat fungsi iaitu PdP (E-Learning), Keusahawanan (Kewangan e-Commerce), Pengurusan Berpusat (Akademik dan Tadbir Urus) dan e-Perpustakaan.

“Inovasi ini mesra pengguna, menarik dan mudah digunakan untuk kaedah pembelajaran terkini seperti saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan PdP,” katanya.

Sementara itu Jurulatih Briged Gayong UMK Muhamad Amru Rusli berkata, pasukan terbabit dianggotai pelajar untuk menyertai pertandingan IUCEL 2021.

Katanya, kursus Kokurikulum Berkredit Briged Gayong UMK mendedahkan pelajar berkenaan seni mempertahankan diri daripada segi teori, teknikal dan praktikal.

“Pelajar juga didedahkan tentang sejarah, falsafah, etika, jati diri, kawad disiplin badan beruniform, kenegaraan, kepimpinan, undang-undang dan akta seni mempertahankan diri serta modul asas tempur tanpa senjata,” katanya.

emasgayong2

Web Traffic

1.png2.png4.png7.png2.png4.png
Today6
Yesterday232
This week1385
This month4963
Total124724

Who Is Online

1
Online

2022-08-20

Search