KOTA BHARU, 13 Mac 2023 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) menerima anugerah khas bagi kategori Pendidikan Keusahawanan Cemerlang pada Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan (KBEA) 2023 di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), En. Mohd. Nazwan Ismail kepada Pengarah Kanan UMKEI, Prof. Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail dan Pengarah CEED-UMKEI, Dr. Mohd Safwan Ghazali.
UMK juga turut menerima anugerah khas bagi kategori Aspiring Entrepreneur oleh Pelajar Tahun Akhir Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) selaku pemilik syarikat Dwans Collection, Wan Nurul Aida Nazwa Wan Ahmad.
Selain itu, anugerah khas bagi kategori Young Emerging Entrepreneur dimenangi oleh Nik Muhammad Hafizul Iqmal Nik Mohd Nazir,
merupakan pelajar Fakulti Senibina dan Ekistik (FAE) dan pengasas produk Reez Parfum.
Menurut Prof. Dr. Mohd Nor Hakimin, pengiktirafan ini diberikan kepada pihak universiti diatas sumbangan UMKEI dalam program pembangunan keusahawanan pelajar, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan menjana ekonomi masyarakat setempat yang berada di negeri Kelantan.
Selain menerima anugerah, Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) dan UMKEI dengan kerjasama Media Home juga menganjurkan Sesi Dialog Usahawan KBEA 2023. Dialog usahawan KBEA2023 mengupas tajuk Mencipta Daya Saing Perniagaan Era Ekonomi Digital adalah bertujuan untuk mengukuhkan hubungan di samping berkongsi ilmu kejayaan di lapangan bisnes masing masing.
Antara panel terlibat adalah Influencer Abang Mat Ngepek, Ryzal dan Mariam (Durian Kimchi), Prof. Dr. Mohd Nor Hakimin serta Dr. Mohd Safwan Ghazali selaku moderator.
Melalui kepakaran dari pihak UMK dan bergabung dengan pengalaman usahawan selebriti kali ini diharapkan dialog ini memberi manfaat kepada semua.
Pada KBEA 2023, 25 buah syarikat perniagaan, universiti, hospital, agensi kerajaan, pempengaruh media sosial dan selebriti dari Kelantan turut menerima anugerah khas KBEA bagi kategori masing-masing.
Pihak KBEA menerima pecalonan sebanyak 128 penyertaan, namun berdasarkan penilaian yang dibuat jawatankuasa KBEA, seramai 30 orang penerima layak menerima anugerah berprestij ini.