KEUSAHAWANAN

Keusahawanan

PROGRAM KEUSAHAWANAN UNGGUL, UMK SASAR PELAJAR LUAR NEGARA

PROGRAM KEUSAHAWANAN UNGGUL, UMK SASAR PELAJAR LUAR NEGARA

KUALA LUMPUR 17 Februari I Majlis Minum Petang (Ambassadorial Hi – Tea) bersama Kedutaan Asing di Malaysia merupakan satu inisiatif terkini Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik untuk memperkenalkan dan mempromosi program akademik UMK ke peringkat antarabangsa khususnya pendidikan di dalam bidang Keusahawanan.

Ini selari dengan iltizam menjadikan universiti ini sebagai destinasi pilihan utama pelajar luar negara melanjutkan pendidikan terutamanya negara-negara yang berpotensi besar seperti Nigeria, Somalia, Pakistan, Senegal, Ghana, Iraq, Indonesia dan Thailand.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, sasaran 300 pelajar baharu luar negara setiap tahun melanjutkan pengajian di UMK mampu dicapai dengan syarat pendekatan lebih strategik diambil yang bukan sahaja dapat meningkatkan hubungan dua hala dengan kedutaan-kedutaan asing di Malaysia tetapi juga membawa UMK ke persada pendidikan dunia.

Beliau percaya UMK sebagai peneraju universiti keusahawanan memiliki kepakaran yang dicari-cari untuk menarik pelajar-pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di universiti ini.

“UMK mahu terus berkembang dan hubungan rapat dan berterusan dengan pihak kedutaan adalah penting kerana usaha ini bukan sahaja dapat memberi keyakinan kepada pelajar antarabangsa sedia ada tetapi membawa lebih banyak lagi manfaat yang lain seperti kemasukan pelajar baharu, projek kolaborasi peringkat antarabangsa dan peningkatan keterlihatan UMK di mata dunia.

“Maklum balas yang kita terima dari pihak kedutaan amat positif dan mereka amat teruja dengan pendidikan keusahawanan yang kita tawarkan. Malah, pihak mereka juga melihat peningkatan kebolehpasaran graduan (GE) 89.9 peratus turut mendapat perhatian pihak kedutaan asing ini,” katanya pada Majlis Ambassadorial Hi-Tea 2020 bertemakan 'Ke arah Kelestarian Pengantarabangsaan' di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, pada 17 Februari 2020.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Pendaftar UMK, Puan Mazula Sabudin dan Pengarah IO, Prof. Madya Dr. Wee Tu Ghee.

Tambah Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi , program siri lagi akan diadakan dalam tempoh terdekat kerana respon positif yang diterima dilihat berupaya meningkatkan kefahaman tentang program-program akademik yang terdapat di UMK.

“UMK akan mempergiatkan aktiviti pengantarabangsaan dan pemasaran luar negara bagi mencapai sasaran 300 pelajar antarabangsa setiap tahun dan kita berharap dapat direalisasikan pada tahun ini,” katanya.

Majlis Ambassadorial Hi-Tea 2020 turut dihadiri oleh 12 pelajar antarabangsa dan tiga staf antarabangsa UMK.

Sementara itu, pelajar berasal dari Indonesia, Saudari Ainnur Shahirah Hasyim, pelajar tahun dua Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), berkongsi pengalaman manis beliau menuntut di UMK.

Katanya, persamaan budaya Malaysia dan Indonesia memudahkan adaptasi dan pembelajaran beliau di UMK.

Manakala mahasiswa PhD yang berasal dari Ghana iaitu Solomon Zaato, menyifatkan pengalaman pembelajaran di UMK sebagai relevan dan kondusif terutamanya penyeliaan oleh Profesor UMK berkepakaran tinggi dalam bidang keusahawanan.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata eksklusif iaitu kain batik hasil kraftangan daripada projek pelajar dan pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, UMK.

keusahawanan

Web Traffic

0.png6.png1.png1.png8.png
Today138
Yesterday177
This week1312
This month1897
Total6118

Who Is Online

1
Online

2021-04-11

Search