KEUSAHAWANAN

Keusahawanan

KERJASAMA UMK DAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN BINA KILANG CUKA BUAH DOKONG

KERJASAMA UMK DAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN BINA KILANG CUKA BUAH DOKONG

BACHOK 3 Februari I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kerajaan Negeri Kelantan akan bekerjasama dalam pembinaan kilang pemprosesan cuka berasaskan buah-buahan rambutan dan dokong bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan bermusim sekali gus membantu para petani menambah sumber pendapatan selain mempelbagaikan produk-produk dari hasil pertanian terutamanya buah-buahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB. Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, melalui pembinaan kilang yang dijangka beroperasi pada September 2020 itu nanti berupaya memproses sebanyak 300 kilogram buah-buahan dalam masa sehari.

Beliau berkata, berdasarkan daripada kajian dari segi kualiti produk yang dijalankan produk cuka ini berupaya di pasarkan di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pertanian Negeri Kelantan telah menyalurkan dana suntikan awal berjumlah RM250,000.00 bagi memastikan operasi kilang yang lengkap dengan fasiliti dan mesin-mesin pemprosesan di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dapat beroperasi seperti yang dijadualkan.

“Kerjasama makmal penyelidikan ini turut mempelbagaikan produk berasaskan dokong dan rambutan seperti gel dan jus serta produk makanan lain,” katanya.

Terdahulu YB. Hj. Tuan Mohd Saripudin telah menyempurnakan majlis perasmian Karnival Penyelidikan dan Inovasi (CRI) anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan Dan Inovasi, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di Dewan Tuanku Canselor, UMK Kampus Bachok, Kelantan, yang berlangsung bermula dari 3 hingga 4 Februari 2020 (Isnin - Selasa).

Karnival CRI 2019 menghimpunkan 145 produk penyelidikan dan inovasi daripada 102 penyertaan dari kalangan penyelidik UMK, 23 penyertaan dari pelajar UMK, dan 21 penyertaan daripada pelajar sekolah -sekolah di sekitar Kelantan yang dipamerkan di sepanjang karnival tahunan ini berlangsung.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan perasmian pelancaran Research Management System (RMS) iaitu sebuah sistem bagi pengurusan penyelidikan dan pelancaran Crowdfunding iaitu platform pengumpulan dana daripada orang ramai, individu ataupun kumpulan bagi menjalankan sesebuah projek, membangunkan penyelidikan dan memberi peluang kepada kumpulan untuk mencapai impian dan pelancaran Projek Inovasi Idea UMK IdeaTon iaitu inspirasi membina penjanaan minda staf UMK agar selari dengan pembentukan budaya kerja yang cemerlang dalam tadbir urus organisasi.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB. En. Abdul Aziz Kadir.

Hadir sama, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan Dan Inovasi, Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Bin Sulaiman, Pengarah Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd., Tn. Haji Mahadi Hj. Mokhtar dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan En. Azman bin Hj Awang.

Sementara itu, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi berkata, penganjuran karnival CRI 2019 pada tahun ini adalah untuk menggalakkan penyelidikan dan inovasi berterusan ke arah pengkomersialan dan membudayakan penyelidikan yang berinovasi dan memberi impak tinggi kepada masyarakat setempat.

Katanya, CRI 2019 adalah relevan dengan arus penghayatan pencapaian kemajuan dalam penyelidikan dan inovasi di mana Universiti, akademia dan pemegang taruh seperti industri, bersama-sama memainkan peranan penting. Kemajuan dalam penyelidikan dan inovasi yang mampan dan menyahut agenda pendidikan Negara akan memberi impak kemajuan untuk mensejahterakan rakyat dan Negara.

“Penyelidikan dapat ditakrifkan sebagai suatu aktiviti sistematik dan berdisiplin yang dijalankan untuk mewujudkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Ia membabitkan pelbagai bentuk merentasi disiplin, termasuk penemuan penyelidikan saintifik dan sosial, penciptaan atau pembaikan konsep dan teori, teknik atau komposisi, atau memperluas pemahaman semasa melalui analisis kritikal,” katanya.

Tambah beliau, penyelidikan dan inovasi ini perlu dijadikan amalan dalam kalangan warga pendidik di negara ini kerana konsep pengajaran dan pembelajaran pada masa ini tidak hanya terarah dari pemberian maklumat dari guru semata-mata sebaliknya pelajar-pelajar sendiri perlu mendapatkan maklumat-maklumat yang relevan tentang apa-apa yang dipelajari melalui pelbagai sumber khasnya secara maya.

“Dengan kata lain, konsep pengajaran dan pembelajaran memerlukan pelajar belajar secara sendiri dan tidak hanya menjadi penerima ilmu semata-mata. Mereka perlu berubah kepada kaedah penghasil ilmu bersama atau Co-curators of Knowledge berikutan perkembangan pesat teknologi,” jelas beliau.

Beliau turut mengulas penggunaan RMS iaitu satu sistem bagi mengurus projek-projek penyelidikan di UMK oleh Bahagian Pengurusan Penyelidikan (RMD) dengan kerjasama Pusat Komputeran dan Informatik (CCI).

Fasa 1 RMS telah beroperasi pada 28 November 2019, dengan menawarkan permohonan geran penyelidikan UMK-Fund, UMK Pro, UMK-Match dan UMK-Sir. Sistem RMS ini menyediakan perkhidmatan permohonan geran penyelidikan supaya lebih cepat dan mudah berbanding sebelum ini yang menggunakan borang secara manual.

Hasil integrasi sistem ini dengan sistem E-Comm UMK, maklumat berhubung profil pemohon boleh dicapai tanpa perlu mengisi pada borang berkenaan. Melalui sistem ini juga, maklumat permohonan disimpan dengan kemas dan rapi selain boleh dijadikan sebagai medium untuk bank proposal.Sistem ini dilihat mampu menjadi satu sistem menyeluruh bukan sahaja melibatkan permohonan, penilaian dan pemantauan geran penyelidikan bahkan boleh menjadi medium bagi penilaian prestasi pensyarah, pelaporan kepada universiti, pendaftaran harta intelek dan jurnal pada masa hadapan.

Sementara itu, Projek Inovasi Idea UMK IdeaTon adalah platform Pejabat Pendaftar UMK menerusi Bahagian Pengurusan dan Kecemerlangan Bakat dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bertujuan mendidik warga UMK untuk senantiasa mempunyai minda yang sihat, cerdas dan cergas dengan memanfaatkan sepenuhnya idea kreatif yang ingin diutarakan kepada saluran atau platform yang betul dan tepat.

Idea ini telah dicetuskan oleh pihak Pejabat Pendaftar UMK berdasarkan inspirasi dan aspirasi yang pernah diketengahkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Projek Bank Inovasi Idea KPT pada sekitar tahun 2014 dan 2015 (Dahulunya dikenali sebagai Kementerian Pengajian Tinggi) dalam usaha membina penjanaan minda staf UMK agar selari dengan pembentukan budaya kerja yang cemerlang dalam tadbir urus organisasi.
Projek inovasi yang dilaksanakan ini adalah terbuka kepada semua staf atau warga UMK dimana penyertaannya adalah secara sukarela dan idea yang ingin diutarakan adalah perlu menepati tema yang telah dikemukakan pada setiap bulan. Idea-idea ini boleh disalurkan menerusi dua (2) kaedah iaitu menerusi replika pokok Inovasi Idea yang diletakkan di ruang lobi Pejabat Pendaftar dan menerusi aplikasi padlet (https://padlet.com/bakat/BAKAT_UMKIdeaTon).

Projek ini secara langsung akan dapat melahirkan warga UMK yang mempunyai bakat ketrampilan dan kepimpinan serta sahsiah diri yang baik dan berkemampuan untuk menterjemahkan idea secara realistik bagi tujuan pembangunan Universiti. Mana-mana idea terbaik yang berjaya dipilih akan diterjemahkan dan seterusnya akan dilaksanakan di UMK.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

vinegar2

vinegar3

vinegar4

vinegar5

Web Traffic

2.png7.png7.png6.png7.png7.png
Today291
Yesterday403
This week1670
This month8568
Total277677

Who Is Online

3
Online

2024-03-29

Search