KEUSAHAWANAN

Keusahawanan

LAWATAN AUDIT PANEL PENILAI PROFESSIONAL ACEEU KE UMK

KOTA BHARU 10 Ogos I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima lawatan panel penilai professional Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged Universities (ACEEU) bagi penilaian untuk mengiktiraf UMK sebagai Universiti Keusahawanan di peringkat antarabangsa.

Sesi penilaian oleh ACEEU telah diadakan secara fizikal oleh Naib Presiden (Jaringan Industri dan Keusahawanan) ACEEU, Prof. Dr. Abdul Jalil Ghazali, bertempat di pejabat Institut Keusahawanan (UMKEI), UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 8 Ogos 2021.

Delegasi ACEEU telah disambut oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Noor Azizi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Pengerusi ACEEU-UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Arham Abdullah dan Pengarah Kanan UMKEI, Prof. Madya Dr. Mohammad Ismail.

Turut berlangsung, pameran produk keusahawanan di bawah UMK-MoF Social Enterprise Project oleh Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) termasuklah produk keusahawanan oleh penyelidik dan pelajar UMK.

Pada sesi penilaian secara fizikal itu UMK telah mendapat maklum balas positif dari panel penilai khususnya terhadap kemudahan infrastruktur dan ekosistem keusahawanan yang disediakan oleh universiti seperti inkubator dan kiosk usahawan.

Sesi penilaian seterusnya diadakan secara dalam talian melibatkan panel professional ACEEU iaitu Prof. Paul Coyle (United Kingdom) dan Prof. Dato’ Dr. Saran Kaur (Universiti Kebangsaan Malaysia), pada 9 hingga 10 Ogos 2021.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Noor Azizi, pengiktirafan ACEEU itu memberikan lebih keyakinan kepada UMK untuk terus mencipta kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa serta komitmen berterusan untuk memberikan pendidikan lestari dan berkualiti kepada pelajar.

Katanya, komitmen universiti meningkatkan keberkesanan pendidikan keusahawanan dapat dilihat melalui peningkatan ketara peratusan usahawan graduan dari tahun 2018 (2.82 peratus) sehingga 2020 (14.8 peratus), iaitu peratusan tertinggi di Malaysia jauh melebihi sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (5 peratus).

“Melihat kepada peratusan usahawan graduan yang dihasilkan, saya yakin UMK telah berjaya mempersiapkan pelajar dengan cara berfikir serta bertindak sebagai seorang usahawan. Kini, tibalah masanya untuk UMK mengorak langkah yang lebih jauh dengan memfokuskan kepada aktiviti keusahawanan berteraskan inovasi.

“Saya percaya UMK mampu menjadi sebuah hub inovasi dan ekonomi berteraskan pengetahuan khususnya melalui penubuhan Ignite Venture Lab (IVL) serta kolaborasi yang sedang dijalinkan bersama agensi serta universiti-universiti di seluruh dunia termasuk MaGIC, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), InnoThink Advisory (Malaysia), Microsoft, The Garage di Northwestern University (Chicago, Amerika Syarikat), Clay Christensen Institute (Boston, AS), EnCube Labs (India), dan Ventures Platform (Nigeria),” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Nik Maheran berkata, UMK telah mencatatkan satu penanda aras baharu terhadap kualiti pendidikan pengajian tinggi awam berteraskan keusahawanan dimana UMK satu-satunya universiti berfokuskan pendidikan keusahawanan di Malaysia.

Beliau berkata, ACEEU telah ditubuhkan pada tahun 2016 dan satu-satunya badan jaminan kualiti yang beroperasi secara global dengan fokus untuk mengiktiraf penglibatan dan keusahawanan universiti.

“UMK telah mengorak langkah untuk menjadi universiti awam pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai universiti keusahawanan oleh ACEEU.

“Pihak UMK turut melalui proses pelaporan dan penilaian awal dan telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir proses penilaian ini setelah memenuhi 15 kriteria kualiti yang ditetapkan oleh pihak ACEEU,” katanya.

Prof. Dr. Nik Maheran berkata, dengan kejayaan mendapatkan pengiktirafan di peringkat global ini menjadi penanda aras dan menggambarkan kebolehan UMK untuk menjadi Universiti Keusahawanan No. 1 bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia dalam masa kurang dari 10 tahun akan datang.

Katanya, ekosistem keusahawanan yang bersifat inklusif menjadi pendokong utama dalam memacu agenda keusahawanan di UMK.

“Ekosistem ini merangkumi aspek pembudayaan keusahawanan (entrepreneurial culture), persekitaran yang kondusif (environment), visi/ tadbir urus yang baik (good governance), kepimpinan (leadership) serta insentif-insentif khas bagi menyokong aktiviti keusahawanan dalam kalangan warga UMK.

“Secara tidak langsung, pengiktirafan ini membolehkan UMK bakal menyertai enam (6) buah universiti lain yang telah diiktiraf oleh ACEEU iaitu Chalmers University of Technology (Sweden), Management and Science University (Malaysia), The University of Adelaide (Australia), Universidad EAN (Columbia), University of Tartu (Estonia) dan University of Malaga (Sepanyol).

“Semakan di laman sesawang ACEEU juga mendapati terdapat 28 buah universiti yang sedang dinilai antaranya Qatar University (Qatar), Universiti Teknologi MARA (Malaysia), University of Turku (Finland), University of Johannesburg (South Africa), London South Bank University (UK), University of Wollongong Australia dan Universiti of Warsaw (UK),” katanya.

Justeru itu, untuk mencapai agenda yang lebih besar iaitu menjadikan UMK sebagai Universiti Keusahawanan No. 1 di Malaysia (2023), ASEAN (2026) dan Asia (2030), adalah penting untuk UMK mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi oleh satu-satunya badan pengakreditasian yang mengiktiraf universiti keusahawanan di peringkat antarabangsa iaitu ACEEU.

1a

Web Traffic

2.png7.png7.png4.png3.png3.png
Today47
Yesterday403
This week1426
This month8324
Total277433

Who Is Online

1
Online

2024-03-29

Search