KOMUNITI

Komuniti

UMK KAMPUS JELI CAKNA ASNAF

UMK KAMPUS JELI CAKNA ASNAF

 
JELI 24 Disember I Menjelang sesi persekolahan yang bakal bermula beberapa hari lagi, di atas rasa tanggungjawab dan kecaknaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli telah menganjurkan program Kembali Ke Sekolah Bersama Anak-Anak Asnaf, dengan matlamat utama untuk mendekatkan lagi hubungan UMK dengan masyarakat.
 
Program khidmat masyarakat yang julung kalinya diadakan ini turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, TDC Holding dan Mydin Holdings Kubang Kerian, untuk meringankan beban keluarga asnaf yang memerlukan bantuan peralatan persekolahan sebelum sesi persekolahan bagi tahun 2020 bermula Januari ini.
 
Program Kembali ke Sekolah anjuran UMK Kampus Jeli bersama anak-anak Asnaf itu membabitkan 52 orang pelajar dari dua buah sekolah di sekitar Jeli iaitu Sekolah Kebangsaan Gemang dan Sekolah Kebangsaan Jeli 1.
 
Pengarah UMK Kampus Jeli, Prof. Dr. Nik Marzuki Sidik, berkata UMK selaku sebuah Universiti Awam (UA) di negeri ini sentiasa berperanan membantu masyarakat melalui konsep memasyarakatkan universiti khususnya dalam program khidmat masyarakat untuk membangunkan ekonomi dan sosial penduduknya.
 
Beliau berkata, program khidmat masyarakat ini telah berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektif untuk membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga asnaf yang layak menerima sumbangan berupa keperluan sekolah seperti set lengkap pakaian sekolah (termasuk kasut sekolah), beg sekolah, alat tulis dan botol minuman, kepada pelajar asnaf di awal persekolahan tahun baru 2020.
 
“Melalui sumbangan ini bukan sahaja dapat meringankan beban perbelanjaan awal persekolahan bagi keluarga asnaf sekaligus dapat merapatkan hubungan antara warga UMK Kampus Jeli dan penduduk setempat selaras dengan tagline UMK iaitu University For Society.
 
“Program ini relevan serta memberi peluang kepada warga UMK Kampus Jeli untuk menyumbang sambil beramal jariah kerana sebahagian keluarga asnaf baharu sahaja ditimpa musibah banjir gelombang kedua. Melalui sumbangan ini memberikan suntikan semangat kepada kami warga UMK Kampus Jeli untuk meneruskan lagi usaha murni ini pada masa akan datang,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan tersebut, di Dewan Serbaguna, UMK Kampus Jeli, pada 18 Disember 2019.
 
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holding Sdn Bhd, Encik Mohd Hafizzuddin Hiew Abdullah yang merupakan penaja utama program ini.
 
Sementara itu, Penyelaras Program, Dr. Noor Janatun Naim Jemali, berkata, inisiatif program ini telah digerakkan pada pertengahan bulan November sehingga 11 Disember 2019 di mana pihak UMK Kampus Jeli telah berjaya mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak yang melebihi sasaran awal kutipan iaitu lebih daripada tiga kali ganda.
 
“Selain bantuan persekolahan, pihak kami turut menyampaikan pelbagai bantuan lain termasuk sumbangan berupa sejumlah wang tunai dan bekalan keperluan asas seperti beras, susu, minyak, gula, tepung gandum dan sebagainya.
 
“Dengan bantuan yang diterima ini, pihak pengurusan dari kedua-dua buah sekolah merakamkan setinggi penghargaan atas keperihatinan dan kecaknaan pihak UMK Kampus Jeli dalam membantu murid-murid asnaf di sekolah mereka,” katanya.
 
Oleh : Pusat Komunikasi Korporat

IMG 20191226 WA0028

IMG 20191226 WA0029

Web Traffic

2.png8.png2.png4.png8.png8.png
Today107
Yesterday341
This week839
This month4336
Total282488

Who Is Online

1
Online

2024-04-17

Search