SUKAN

SUKAN

30 PKS KOR SISPA UMK DITAULIAH PANGKAT LEFTENAN MUDA (PA)

KANGAR 19 September I Seramai 30 Pegawai Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kompeni 5 menerima watikah pentauliahan Pegawai Leftenan Muda (PA) Kor Sispa pada Majlis Pentauliahan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan (Kor Sispa) Kali Ke-11 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra, Perlis, hari ini.
 
Turut menerima watikah pentauliahan ialah seramai 252 pegawai kadet  Kor Sispa dari UniMAP, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA Kampus Shah Alam dan Puncak Alam, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman serta Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
 
Majlis pentauliahan Pegawai Muda ini adalah untuk penyampaian watikah pangkat sebagai Leftenan Muda (PA) yang telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Tuanku Canselor UniMAP.
 
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
 
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob selaku Komandan Kor SISPA UMK serta Pegawai Bersekutu UMK.
 
Menurut Prof. Mohd Rafi, majlis hari ini adalah bagi mentauliahkan semua PKS UMK kompeni 5 ke pangkat Letftenan Muda Pertahanan Awam (PA). 
 
Katanya, mereka yang ditauliahkan ini telah melengkapkan silibus yang telah ditetapkan selama tiga tahun untuk melayakkan mereka dianugerahkan pangkat tersebut.
 
“Saya berharap PKS akan terus membantu UMK khususnya untuk penyelarasan Kor Sispa diperingkat Universiti dalam semua aktiviti, program dan majlis universiti pada masa akan datang.
 
“Malah,  sumbangan mereka tidak akan berakhir di sini dan kita berharap PKS ini akan terus memacu Kor Sispa ke arah lebih cemerlang serta dapat memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
 
Sempena majlis pentauliahan berkenaan, para peserta PKS turut melibatkan diri bersama-sama masyarakat setempat dalam aktiviti Program Tanggungjawab Sosial Korporat, iaitu kempen menjadikan ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’ melalui gotong royong membersihkan kawasan PPRT Kampung Tok Kuning, Kangar pada 18 September 2020.
 
Sementara itu, Lt. M (PA) Wan Siti Aminah Wan Shamsuddin merupakan penuntut Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) UMK telah dipilih sebagai PKS Terbaik bagi tahun 2020.
 
Anak kelahiran Besut, Terengganu itu teruja dan terkejut dengan penganugerahan tersebut kerana tidak menyangka sepanjang tiga tahun menyertai badan beruniform Kor Sispa itu berjaya menerima PKS terbaik.
 
Katanya, pencapaian ini adalah berkat dari sokongan keluarga terutama ibunya yang banyak memberi dorongan.
 
“Selain itu, jurulatih dan rakan-rakan juga banyak membantu saya mengharungi cabaran-cabaran sepanjang tiga tahun dalam tempoh latihan.
 
“Saya percaya, pelajar kena bijak bahagi masa jika mahu menyertai aktiviti ko kurikulum kerana aktiviti sukarelawan Kor Sispa hanya dilakukan pada hari minggu dan tidak melibatkan waktu kelas.
 
”Ini membolehkan saya melakukan aktiviti selepas tamat kelas manakala ketika di dalam kuliah perlu fokus pada pembelajaran,” jelasnya yang bercita-cita untuk menjadi pegawai kesihatan.
 
Tambahnya, melalui penglibatan luar dalam badan beruniform khususnya Kor Sispa akan membantu pelajar meningkatkan kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi dan sikap kepimpinan serta berdikari.
 
“Kita juga dapat memberi sumbangan kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawan dengan membantu orang lain,” ujar anak bongsu dari 13 adik beradik itu.
 
Oleh I Pusat Komunikasi Korporat UMK

kor2

 

Web Traffic

2.png8.png4.png1.png9.png2.png
Today155
Yesterday288
This week443
This month6040
Total284192

Who Is Online

1
Online

2024-04-23

Search