KOTA BHARU, 10 Oktober 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus mengekalkan kecemerlangan dengan berada di kedudukan 1501+ daripada 2,092 institusi terbaik di dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 yang diumumkan di University of Manchester, UK, semalam.
Penarafan oleh THE yang dinilai di seluruh dunia ini adalah satu pencapaian yang mencerminkan usaha gigih universiti dalam memperkukuh kedudukannya di peringkat global.
Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak berkata, peningkatan ketara dalam aspek penyelidikan dan kerjasama industri menunjukkan keupayaan UMK untuk terus memperkasakan peranan akademik serta menjalin hubungan erat dengan sektor industri.
Beliau berkata, kerjasama ini memberi manfaat kepada pelbagai pihak, sekaligus memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan di Malaysia.
“Adalah menjadi keutamaan dan komitmen universiti untuk menghasilkan graduan yang siap untuk masa depan yang cemerlang dalam bidang akademik.
“Dalam aspek pengantarabangsaan, UMK terus memantapkan kedudukannya melalui peningkatan kerjasama dengan institusi antarabangsa serta menarik lebih ramai pelajar dari luar negara.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UMK untuk menonjolkan Malaysia sebagai pusat pendidikan tinggi yang bertaraf dunia,” katanya.
Tambah Dato’ Prof. Dr. Razli, pencapaian ini adalah hasil daripada dedikasi seluruh warga universiti yang terus komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan, penyelidikan, serta penglibatan industri dan antarabangsa.
“UMK yakin bahawa dengan strategi yang jelas dan usaha berterusan, universiti ini akan terus maju dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada staf akademik, staf pentadbiran dan sokongan, serta pelajar atas komitmen mereka dalam memastikan UMK terus dikenali di persada antarabangsa.
“Ini merupakan inisiatif UMK dalam memperkasakan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, penerbitan, serta terus meningkatkan keterlihatan UMK di peringkat antarabangsa,” katanya.