COVID-19

COVID-19

UMK BUKA CADANGAN INOVASI DALAM MEMERANGI COVID-19

UMK BUKA CADANGAN INOVASI DALAM MEMERANGI COVID-19

KOTA BHARU 12 April I Dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membuka peluang kepada warganya dari pelbagai peringkat pengurusan untuk tampil mengemukakan sebarang produk baharu yang dapat digunakan oleh pasukan Barisan Hadapan. Peluang ini juga terbuka kepada inovasi produk sedia ada yang bukan sahaja bertujuan menambah baik kualiti produk tetapi juga membangunkan
lagi elemen kreativiti di kalangan warga UMK.

Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) yang mengetuai pembangunan idea inovasi ini mengalu - alukan sebarang cadangan untuk dikemukakan kepada universiti dalam membangunkan mekanisme terbaik bagi menyokong keperluan semasa petugas di Barisan Hadapan dalam menanggani penularan COVID-19.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, sehingga kini UMK telah membangunkan lima produk hasil ciptaan warganya termasuk dari segi reka bentuk dan teknologi serta kepakaran ilmu.

Beliau berkata, UMK telah bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu petugas kesihatan dan agensi keselamatan.

“Ini adalah komitmen berterusan UMK untuk mewujudkan perkongsian kepakaran universiti membabitkan semua pihak termasuk staf dan pelajar untuk mengemukakan sebarang idea dan inovasi baharu yang lebih bermakna dan memberi manfaat kepada usaha melandaikan rantaian penularan virus Covid -19,” katanya.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi berkata, dengan inisiatif ini UMK menerusi kerjasama Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan ( FTKW) dan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu telah menghasilkan 818 alat pelindung muka (3D Face Shield Visor) dan kelengkapan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang merangkumi penutup kepala (5220 unit), sarung kaki (540 unit) dan isolation gown (1046 unit) yang telah diagihkan kepada beberapa agensi terbabit untuk kegunaan barisan hadapan.

Katanya, dalam menanggani kekurangan bekalan cecair pembasmi kuman atau ‘Hand Sanitizer’ di pasaran tempatan pihak UMK telah berjaya menghasilkan sendiri produk ini dengan kepakaran penyelidik Fakulti Bio-Kejuruteraan dan Teknologi (FBKT) serta Fakulti Sains Bumi (FSB).

“Sehingga kini, sebanyak 1816 unit telah diserahkan kepada lebih 10 agensi diseluruh Kelantan,” katanya.

Pada masa sama, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi berkata, UMK juga telah membangunkan satu aplikasi dikenali sebagai ‘Smart Tracking’ yang berfungsi sebagai alat komunikasi, pengawasan dan pemantauan jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas dan pelajar.

“Ciptaan ini telah dihasilkan oleh Pusat Komputeran dan Informatik (CCI) mengesan lokasi petugas dan pelajar berdasarkan koordinat GPS, tahap kesihatan dan status mengikut rantaian wabak COVID-19 (kategori A-E) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Selain itu, berdasarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selama dua minggu lagi iaitu sehingga 28 April 2020. UMK melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarbangsa) telah menyelaras jadual pengajaran dan pembelajaran secara maya atau
e-learning untuk memberi kemudahan kepada semua pelajar,” katanya.

Sehubungan itu, semua warga UMK dipelawa untuk mengemukakan cadangan yang bernas dan mampu dilaksana dengan segera dan cepat untuk digerakkan.

Jika ada yang ingin mengemukakan cadangan, sila hantarkannya ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

Web Traffic

2.png8.png2.png9.png5.png1.png
Today230
Yesterday340
This week1302
This month4799
Total282951

Who Is Online

3
Online

2024-04-18

Search