COVID-19

COVID-19

MENGURUS HAL EHWAL PELAJAR SEPANJANG KRISIS COVID-19 PENGALAMAN YANG PENUH DEBARAN TETAPI BERHARGA - TNC HEPA UMK

MENGURUS HAL EHWAL PELAJAR SEPANJANG KRISIS COVID-19 PENGALAMAN YANG PENUH DEBARAN TETAPI BERHARGA - TNC HEPA UMK

PROFESOR Ts. Dr. Zaliman Sauli, antara nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Tugas beliau sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMK cukup membuatkan namanya dikenali oleh semua lapisan pelajar UMK. Lebih-lebih lagi ketika ini dengan kemunculan wabak Covid-19, gerak langkah Prof Zaliman semakin laju dalam memastikan pelajar UMK yang masih berada di kolej kediaman tidak menjadi mangsa Covid- 19 ini.

Sejak hari pertama, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa iaitu pada 18 Mac 2020 beliau adalah antara orang yang paling sibuk memastikan pergerakan dan keselamatan pelajar UMK yang berada dibawah tanggungjawab pentadbirannya iaitu Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Beliau mengorbankan masa dan istirehat selama dua bulan ini bagi memastikan penularan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya dengan mendapat kerjasama baik dari beberapa pasukannya iaitu Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Bahagian Keselamatan Universiti.

Bermula seawal 7.30 pagi kelibat beliau sudah pun muncul berada di Bilik Gerakan Covid 19 di aras bawah Kolej Kediaman untuk memastikan 1,000 pelajar yang terkandas di kampus dan luar kampus berada dalam keadaan selamat.

Tiada istilah jemu atau bosan yang keluar dari mulutnya biarpun berdepan dengan rutin harian yang sama iaitu menjaga makan minum, kesihatan dan kebajikan pelajar terpelihara sejak PKP yang memasuki fasa keempat.

Menurut Prof. Ts. Dr. Zaliman, sesungguhnya tugas ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar. Berhadapan dengan wabak yang masih belum ditemui penawar mustajab menjadikan minit-minot masa yang dilalui penuh debaran. Bagi beliau dan pasukannya para pelajar ini sudah dianggap sebagai keluarga sendiri.

Antara aspek utama yang perlu dipantau ialah kebajikan pelajar. Bukan sahaja keperluan makan minum tetapi kesihatan mental dan fizikal mereka juga perlu diberi perhatian. PKP ini membataskan pergerakan yang biasa maka surah tentu para pelajar yang berjauhan darioada ibu bapa masing-masing akan cepat tertekan.

“Bagi saya serta staf, apa yang kami lakukan ini adalah untuk kepentingan pelajar maksudnya tiada istilah jemu atau merasa bosan walaupun menghadapi proses dan rutin yang sama setiap hari.

“Selain itu, pelajar-pelajar juga digalakkan mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat serta sentiasa mengikuti kelas atau kuliah secara atas talian,” katanya.

Pada masa sama, HEPA UMK juga mengambil kaedah atau pelan pengurusan risiko bagi penularan pandemik Covid 19 secara pro aktif dengan mengatur strategi pengurusan kesihatan dan kebajikan pelajar sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP berlangsung.

“Pendekatan itu selari dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya setiap Universiti Awam (UA) mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif bagi pengurusan pelajar dalam mengekang wabak Covid -19.

Katanya, sejak penularan wabak COVID-19,
pihak universiti telah mengambil langkah-langkah yang ketat supaya pelajar-pelajar dan staf yang bertugas ini tidak terkena wabak Covid-19.

“HEPA dengan kerjasama Pusat Kesihatan dan Bahagian Keselamatan Universiti sentiasa memantau tahap kesihatan pelajar dan juga staf yang bertugas. Staf yang datang bertugas perlu menjalani proses saringan kesihatan seperti pemeriksaan suhu badan serta tidak mengalami simptom-simptom seperti batuk dan selsema.

“Jadi apabila mereka berhadapan dengan pelajar-pelajar, kedua-duanya berada dalam keadaan selamat. Begitu juga dengan pelajar, kita sentiasa pantau jika ada yang tidak sihat seperti demam dan selsema akan terus dirujuk kepada pusat kesihatan untuk melihat tahap kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui pada Ops Hantar Pelajar Fasa II bagi Zon Tengah dan Zon Selatan di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada 8 Mei 2020.

Seramai lebih 700 pelajar UMK telah dihantar pulang ke destinasi masing-masing sejak 30 April lepas.

Menurut Prof. Ts. Dr. Zaliman, UMK turut menyediakan topeng muka dan mulut serta cecair pembasmi kuman dan kerap memberikan penerangan berkenaan kaedah penjagaan kesihatan serta kebersihan diri.

Selain itu, beliau tidak menafikan sepanjang tempoh PKP itu antara cabaran dihadapi ialah tarikh penguatkuasaan PKP bermula sebelum puasa iaitu fasa satu, kedua dan ketiga dan apabila memasuki fasa keempat ini tempoh PKP berada dalam bulan Ramadan.

“Secara tidak langsung, ianya mungkin akan memberi lebih cabaran kepada pihak HEPA yang setiap hari perlu menguruskan pelajar termasuklah menyediakan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur.

“Manakala bagi pelajar-pelajar bukan Muslim disediakan makanan tengahari,” katanya.

Beliau berkata wabak yang melanda seluruh dunia sekarang ini adalah perkara yang memang tidak dijangka. Beliau tidak menafikan ada ketikanya beliau didatangi rasa bimbang jika mana-mana pelajar UMK menjadi mangsa Covid-19. Ia adalah perjalanan penuh suspen tetapi sangat berharga.

Katanya, musibah ini berbeza dengan lain-lain bencana seperti banjir, kebakaran, kemalangan dan sebagainya kerana wabak ini adalah pandemik global melibatkan keseluruhan masyarakat sehingga seluruh dunia tidak selamat. Apatah lagi belum ditemui penawar yang mujarab.

“Ini adalah pengalaman pertama saya menjaga pelajar-pelajar sejak hari pertama PKP yang bermula pada 18 Mac yang lalu. Pada peringkat awalnya ramai pelajar yang telah pulang ke kampung masing-masing sebelum PKP.

“Pelajar di UMK secara keseluruhannya berjumlah 1000 orang pelajar terdiri dari pelajar di Bachok, UMK Kampus Kota dan Kampus Jeli.

“Pada peringkat awal, kami perlu mendapatkan maklumat lengkap keberadaan pelajar terutamanya mereka yang tinggal di luar kampus. Bagi pelajar-pelajar yang berada di dalam kampus, kita tidak ada masalah yang besar kerana mereka sentiasa berdaftar dengan kita. Bagi pelajar yang tinggal di dalam Kampus Bachok, pihak UMK telah pindahkan mereka hampir 100 orang pelajar ke Kampus Kota,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tempoh PKP pihak Universiti akan memastikan kontraktor yang membekalkan makanan tengahari dan juga makan malam kepada pelajar setiap hari.

“Manakala bagi pelajar yang tinggal di luar kampus sekitar Kampus Bachok dan Kampus Kota, pihak universiti membekalkan makanan kering untuk dimasak seperti beras, minyak, telur, sardin dan pelbagai lagi. Kita mendapat maklumbalas daripada pelajar-pelajar ini yang mereka tidak mempunyai sebarang masalah tentang keperluan makan minum mereka semasa berada dalam tempoh PKP fasa pertama lagi serta tentang kesihatan mereka,” katanya.

Sementara itu, sejak 30 April fasa pertama penghantaran pulang pelajar telah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu termasuk melepasi saringan kesihatan dan melakukan proses nyah kuman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kota Bharu terhadap bagasi, bas dan van.

Sehingga kini, UMK telah melaksanakan enam operasi penghantaran pulang penuntutnya iaitu peringkat Zon Timur, Zon Selatan Fasa I dan II, Zon Tengah I dan II dan peringkat seterusnya pada 10 Mei ke Sarawak.

Dalam pada itu, pihak Universiti
merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan pelajar IPTA dan IPTS pulang ke kampung halaman mereka bersama-sama dengan keluarga.

“Ucapan terima kasih juga dipanjangkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad di atas usaha yang berterusan pihak KPT bersama dengan pihak MKM, PDRM dan KKM menguruskan serta mencari kaedah untuk menghantar pulang pelajar ke kampung halaman dalam keadaan sihat dan selamat.

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

WhatsApp Image 2020 05 11 at 1.47.54 PM

Web Traffic

2.png8.png3.png3.png8.png6.png
Today101
Yesterday291
This week1737
This month5234
Total283386

Who Is Online

1
Online

2024-04-20

Search