GLOBAL

General

UMK, UNIVERSITI PERTAMA TUBUH PUSAT PENGAJARAN LATIHAN NIOSH@UMK

UMK, UNIVERSITI PERTAMA TUBUH PUSAT PENGAJARAN LATIHAN NIOSH@UMK

BACHOK 19 Januari I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMEOSH) menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam kalangan pekerja di negara ini.

Pemeteraian MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail manakala NIOSH diwakili Pengarah Eksekutif NIOSH, YB. Haji Ayop Salleh, di Bilik Seminar 2, Aras 2 Bangunan Canselori UMK Bachok, pada 19 Januari 2020.
Majlis tersebut juga disaksikan oleh Pengerusi NIOSH, YB. Puan Alice Lau Kiong Yieng dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.

MoU yang ditandatangani turut mengambil kira penubuhan Pusat Pengajaran Latihan NIOSH@UMK untuk membolehkan kajian bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini dapat dijalankan. Pada majlis itu, turut berlangsung majlis penyerahan kunci pejabat satelit NIOSH yang berpangkalan di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa pada awal tahun 2020.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi berkata, melalui kerjasama strategik UMK-NIOSH berkonsepkan industri dalam universiti ini akan memperlihatkan kekuatan dan kepakaran UMK dalam membangun industri dan masyarakat sekaligus menjadikan UMK sebagai Universiti Keusahawanan pertama dalam peneraju aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kalangan Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.

Beliau berkata, kerjasama ini turut membuka peluang kepada warga UMK dan NIOSH melaksanakan koloborasi dalam bidang penyelidikan berkaitan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) selain menyumbang data, informasi dan kepakaran bagi tujuan penerbitan berkaitan KKP.
“Kedua- dua pihak telah bersetuju untuk bekerjasama bagi membina keupayaan tenaga pakar KKP melalui pertukaran dan pelantikan Pakar Teknikal Pelawat serta kerjasama pembangunan kemudahan masa hadapan termasuk pembinaan Makmal Perindustrian Kolaborasi NIOSH-UMK di Pejabat NIOSH Wilayah Pantai Timur, Kerteh,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan UMK berkaitan program keselamatan dan kesihatan pekerja bermula selepas menerima penerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Kategori Institut Pendidikan Tinggi) 2018, yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, pada tahun lepas.

“UMK terus melangkah dan menyahut cabaran untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan pada tarikh 26 November 2019, UMK telah di iktiraf dengan pensijilan ISO 45001:2018.

“Pelbagai cabaran dan pengorbanan telah dilakukan dalam memastikan UMK sebagai pencetus amalan OSH terbaik di antara Universiti Awam di Malaysia. Ini juga menunjukkan bahawa umk merupakan sebuah organisasi yang mengamalkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, YB Alice Lau Kiong Yieng berkata, kolaborasi ini sebagai satu platform yang amat penting bagi meningkatkan lagi hasil penyelidikan dalam bidang KKP di negara ini dimana difahamkan UMK sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi awam yang sedang berkembang maju, dan aktif dalam menjalankan penyelidikan berkaitan KKP.

Katanya, selari dengan inisiatif yang dilaksanakan pihak NIOSH dalam bidang yang sama, jalinan kerjasama ini amat bertepatan kerana ia akan turut memberikan manfaat positif kepada pihak majikan dan pekerja khususnya dalam mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

“Melalui perkongsian kepakaran dan idea di antara NIOSH dan UMK ini juga membolehkan lebih banyak kajian dan penyelesaian KKP yang efektif dibangunkan selaras dengan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) yang bertujuan untuk melindungi hak pekerja dalam persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif.

“Saya percaya MoU yang ditandatangani pada hari ini akan membolehkan kedua-dua pihak meneroka ruang dan peluang yang lebih besar apabila kemudahan dan juga kepakaran dalam bidang KKP dapat dikongsi bersama. Dengan gabungan kemahiran dan pengalaman kakitangan akademik UMK dan tenaga pakar NIOSH akan dapat membuahkan hasil yang cemerlang demi meningkatkan tahap KKP dan kesedaran mengenainya dan seterusnya mengurangkan kemalangan pekerjaan di seluruh negara,” katanya.

 

Oleh I Pusat Komunikasi Korporat

Web Traffic

2.png8.png3.png4.png7.png3.png
Today188
Yesterday291
This week1824
This month5321
Total283473

Who Is Online

4
Online

2024-04-20

Search