GLOBAL

General

KONVENSYEN KELUARGA SAKINAH CAPAI 15 RESOLUSI BAGI MENDEPANI CABARAN DAN ISU-ISU SEMASA KEKELUARGAAN

KOTA BHARU I Ibu bapa perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta menghayati konsep Qawwam (kepimpinan) khususnya dalam hal ehwal kekeluargaan bagi menghadapi cabaran mendepani isu - isu semasa dalam institusi keluarga.

Pengetahuan ini penting untuk memberikan kesedaran tentang isu-isu kekeluargaan seperti cabaran akidah moden, teknologi gajet yang menuntut kebijaksanaan ibu bapa dalam mengharungi cabaran dunia langit terbuka pada masa kini.

Menurut Pegawai Tadbir (Hal Ehwal Islam), Pusat Islam Universiti, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Ustazah Ainul Kauthar Karim, setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga amat mengimpikan lahirnya sebuah keluarga yang bahagia.

Katanya, sesebuah institusi keluarga yang bahagia lahir sekiranya sebuah keluarga itu dipacu mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

“Namun mutakhir ini, kita sedia maklum pelbagai permasalahan dalam institusi kekeluargaan sering berlaku dalam masyarakat dan keadaan ini amat membimbangkan.

“Justeru, Program Konvensyen Keluarga Sakinah bertemakan Cabaran Mendepani Isu-Isu Semasa Kekeluargaan diadakan bagi mengupas isu-isu semasa bagi mencari solusi-solusi terbaik melalui pendekatan Islam bagi menghadapinya,” katanya.

Konvensyen Keluarga Sakinah 2021 anjuran Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu telah bersiaran secara langsung menerusi platform Facebook Live Rasmi UMK, pada 11 hingga 12 April 2021.

SuhaimiSementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Tuan Mohd Suhaimi Mohamed merumuskan bahawa Konvensyen Keluarga Sakinah (KKS) telah menggariskan 15 resolusi sebagai rumusan dan saranan dalam mendepani cabaran serta isu-isu semasa berkaitan kekeluargaan.

Katanya, berdasarkan kepada sembilan sesi pembentangan kertas kerja sepanjang dua hari konvensyen KSS itu berlangsung secara rasional telah merumuskan bahawa peranan dan penglibatan semua pihak dalam aspek kerohanian, kemahiran keibubapaan dan kemasyarakatan adalah penting dalam hasrat mencapai keluarga Sakinah.

“Untuk merealisasikan hasrat itu, pengukuhan akidah yang didokong elemen psikologi memainkan peranan penting mendepani cabaran dan permasalahan rumah tangga dengan Asas pendidikan kekeluargaan berdasarkan surah Luqman ayat 13-19 perlu diperkasakan dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, kepentingan ibu bapa untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan anak-anak secara berkesan tanpa bergantung kepada peranan gajet. Justeru, era ledakan teknologi maklumat dan aplikasi gajet menuntut kebijaksanaan ibu bapa dalam mengimbangi tuntutan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, resolusi itu juga merumuskan bahawa perkahwinan di usia muda memerlukan sokongan sewajarnya (moral dan kewangan) daripada kedua ibu bapa serta bimbingan (kursus pasca perkahwinan) daripada pihak berwajib.

“Mewujudkan dasar pendidikan seksualiti dalam menangani dan melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa, ibu bapa perlu cakna dan berperanan memantau aspek pendidikan serta perkembangan seksualiti anak-anak, kempen kesedaran mengenai isu keganasan rumahtangga perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, keperluan kepada kefahaman yang jelas mengenai hak dan tanggungjawab berkaitan nafkah khususnya oleh setiap pasangan yang bercerai. Kepentingan ibu bapa mengambil tahu, memantau pergerakan dan pergaulan serta memainkan peranan untuk berbincang dengan anak-anak mengenai hal ehwal kehidupan mereka,” katanya.
Menurut Tuan Mohd Suhaimi , keupayaan suami dalam memenuhi konsep Qawwam (kepimpinan) dalam hal ehwal kekeluargaan merupakan faktor terpenting ke arah kerukunan dan keharmonian rumahtangga.

Katanya, keperluan kepada penyelidikan yang komprehensif mengenalpasti isu perceraian dan keruntuhan rumahtangga bagi menangani permasalahan dengan lebih berkesan.

“Kekuatan akidah merupakan aspek terpenting yang perlu diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat bagi menghadapi cabaran semasa berkaitan kecelaruan gender dan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

“Platform media sosial perlu dioptimumkan dengan lebih berkesan dalam menyalurkan maklumat dan mendapatkan maklum balas masyarakat berkaitan isu-isu kekeluargaan,’ katanya.

KONVENSYEN KELUARGA SAKINAH CAPAI 15 RESOLUSI BAGI MENDEPANI CABARAN DAN ISU-ISU SEMASA KEKELUARGAAN

Web Traffic

2.png7.png7.png4.png3.png9.png
Today53
Yesterday403
This week1432
This month8330
Total277439

Who Is Online

1
Online

2024-03-29

Search