GLOBAL

General

PELAJAR UMK JANA PENDAPATAN MELALUI PERNIAGAAN DROPSHIP

TANPA memiliki produk sendiri, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Senibina Dalaman, Fakulti Senibina dan Ekistik (FSE) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), berjaya membuktikan perniagaan dropship mampu memberi pulangan lumayan sehingga mencecah lima (5) angka.

Muhammad Zulhilmi Sidek, 22, berkata idea untuk memulakan perniagaan dropship dengan menjual produk orang lain telah bermula pada 2017 sekadar untuk menambah pendapatan sampingan.

Katanya, perniagaan dropship paling mudah untuk memperoleh keuntungan kerana kaedah itu kurang risiko, tiada modal, tanpa simpanan stok dan hanya perlu fokus kepada pemasaran secara dalam talian di medium seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp.

“Semua urus niaga di hujung jari sahaja iaitu dengan mengambil pesanan daripada pelanggan manakala urusan pengeposan barang sepenuhnya diuruskan oleh pengusaha produk.

“Alhamdulillah, walaupun baru sahaja memulakan perniagaan secara dropship, saya berjaya memperoleh jualan sebanyak RM50,000.00 dengan hanya membuat pemasaran dan promosi menjual produk pakaian muslim jenama Al Hafiz Exclusive semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas,” katanya kepada pemberita, di sini.

Muhammad Zulhilmi Sidek berkata idea untuk memulakan perniagaan dropship dengan menjual produk orang lain telah bermula pada 2017 sekadar untuk menambah pendapatan sampingan. – Bernama

Bercerita lanjut, Muhammad Zulhilmi berkata menerusi kejayaan itu, beliau telah dilantik sebagai dropship rasmi oleh syarikat pengeluar produk jenama tersebut selepas berjaya mencatat jualan yang tinggi.

“Perkembangan dunia fesyen terutamanya permintaan untuk busana Muslim juga semakin tinggi kerana pakaian muslim bukan sahaja dipakai pada sambutan hari raya tetapi boleh digunakan secara formal ke majlis-majlis kenduri dan keramaian.

“Melihat kepada potensi besar industri pakaian Muslim, saya mula menubuhkan sebuah syarikat berdaftar iaitu Al Kahfi Exclusive Ventures pada 2021 untuk mendapat hak eksklusif sebagai dropship kepada tiga syarikat lain iaitu Medina Exclusive, Muhammad Exclusive dan Imare Collection bagi mempelbagaikan variasi untuk menepati kehendak pasaran dan pembeli,” katanya.

Muhammad Zulhilmi berkata, tidak dinafikan ramai usahawan dan ahli perniagaan terkesan dengan pandemik COVID-19 yang berlanjutan sehingga kerajaan melaksanakan PKP 3.0 sekali gus telah menjejaskan perniagaan terutamanya membabitkan butik pakaian.

Katanya, biarpun aktiviti perniagaan pakaian ditutup pada tempoh kawalan pergerakan, beliau bijak memanfaatkan platform media sosial secara konsisten dengan mengemaskini maklumat koleksi pakaian terkini dan memuat naik maklum balas pelanggan tentang kualiti dan keselesaan produk.

Beliau berkata, walaupun berbeza dengan bidang pengajian yang dipelajari namun sedikit pun tidak menghalang semangatnya untuk merealisasikan cita-citanya sejak dari kecil untuk membuka sebuah perniagaan suatu hari nanti.

Web Traffic

2.png8.png4.png7.png1.png6.png
Today51
Yesterday347
This week967
This month6564
Total284716

Who Is Online

2
Online

2024-04-25

Search