GLOBAL

General

TUANKU CANSELOR BANGGA PENCAPAIAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN UMK

BACHOK 20 November I Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Yang Teramat Mulia (YTM) Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra, menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian kebolehpasaran graduan serta peningkatan graduan usahawan yang mencatat peningkatan dari tahun ke tahun berbanding universiti lain.

YTM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah, baginda turut melahirkan rasa bangga melihat perkembangan UMK yang banyak menggapai kejayaan dan semakin gah di persada dunia.

"Selain itu, Beta berharap dapat mendengar khabar gembira berkaitan, pengiktirafan UMK, dalam Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged Universities atau ACEEU kelak.

"Beta juga berdoa agar UMK mendapat tempat yang gemilang dalam anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi nanti," titah Tuanku Canselor pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UMK kali ke 10 dan 11, di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok, Kelantan, hari ini.

Turut berangkat, YBhg. Che Puan Sofie Louise Johansson, Tengku Pro-Canselor, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz dan Pro Canselor, Tan Sri Dr. Asiah Abu Samah.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Bentara Kanan, Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob, Pengerusi, Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Haji Mohamad Fatmi Haji Che Salleh, Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Razli Che Razak serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.

Tuanku Canselor bertitah, baginda turut sukacita dengan perkembangan dalam aspek penyelidikan dan beberapa pencapaian cemerlang para penyelidik UMK yang berterusan menghasilkan pelbagai inovasi, sama ada dalam bidang sains tulen, mahupun sains sosial dan ilmu kemanusiaan.

"Beta maklum, UMK turut berkolaborasi dengan kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan Persekutuan, untuk melaksanakan projek khas bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Kelantan. Usaha tersebut termasuklah projek Lembah Barakah dan KEGA Valley.

Sementara itu, Prof. Dr. Nik Maheran berkata, Istiadat Konvokesyen Kali Ke 10 dan Ke 11 telah melakar sejarah baharu yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Pendekatan ini merupakan inovasi daripada keluarga UMK bagi memastikan para graduan tetap dapat bergraduasi meskipun negara masih dilanda wabak COVID-19, yang diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan maya.

"Istiadat Konvokesyen kali ini meraikan seramai 1,916 graduan yang akan menerima ijazah bagi tahun 2020.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 20 graduan adalah penerima Ijazah Doktor Falsafah, empat graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), 30 graduan Ijazah Sarjana, 19 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 1,843 graduan ijazah sarjana muda, " katanya.

Menurutnya, jumlah graduan yang akan menerima ijazah untuk tahun 2021 adalah seramai 1,941 graduan iaitu 19 graduan penerima Ijazah Doktor Falsafah, seorang graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan, 25 graduan Ijazah Sarjana, 15 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan 1,861 graduan ijazah sarjana muda.

"Dari sudut keboleh pasaran graduan, data pengesanan graduan sehingga 1 Mac 2021, menunjukkan peratus kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Kelantan bagi tahun 2020 adalah sebanyak 90.6 peratus.

"Peratus ini adalah jauh lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, iaitu 75 peratus. Jumlah ini merangkumi mereka yang bekerja sendiri, menjadi pekerja bebas atau freelancer dan menjadi majikan.

"Selain itu, UMK juga berjaya menghasilkan 14.8 peratus graduan usahawan pada tahun 2020 dan insya Allah pada tahun ini pastinya akan lebih meningkat," katanya.

Pada istiadat kali ini, Tan Sri Datuk Dr. Asiah Abu Samah telah dilantik sebagai Pro Canselor UMK.

Selain itu, UMK turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) kepada Pengerusi Antarabangsa Chartered Institute of Logistic and Transport Malaysia, Dato' Ts. Abd Radzak Abd Malek dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Presiden Mofaz Group Companies, Tn Haji Mohamed Fauzy Abdul Hamid.

Turut menerima anugerah ialah mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Dato' Dr. Ibrahim Che Omar yang menerima Anugerah Profesor Emeritus.

Web Traffic

2.png7.png7.png4.png9.png8.png
Today112
Yesterday403
This week1491
This month8389
Total277498

Who Is Online

1
Online

2024-03-29

Search