KUALA KRAI 29 Ogos 2024 I Pelajar antarabangsa cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023, Harteenee Waekuechi, 20, ditawarkan bantuan pembiayaan pendidikan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda untuk sesi kemasukan Semester September 2024/2025, pada Oktober ini.
Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak berkata, bantuan pembiayaan pendidikan itu bagi meringankan bebanan kewangan Harteenee yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian di UMK.
Beliau berkata, penawaran bantuan pembiayaan pendidikan kepada B40 itu dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang disamping dapat meringankan beban keluarga untuk membayar kos pengajian di UMK.
“Harteenee Waekuechi, merupakan lepasan STPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai, Kelantan, berjaya memperoleh keputusan PNGK 4.0 dalam STPM 2023.
“Anak kepada penoreh getah ini adalah satu-satunya anak yang menjadi harapan keluarga yang boleh mengubah nasib keluarga dengan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan membantu keluarga dari kepompong kemiskinan yang membelenggu kehidupan mereka selama ini.
“Pemberian bantuan ini memberi harapan serta peluang kepada mereka yang tidak bernasib baik dengan menawarkan bantuan pendidikan kepada pelajar dari keluarga B40,” katanya pada Program Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan Kepada Pelajar Cemerlang STPM, di Kampung Dusun Nyior, Kuala Krai, Kelantan, hari ini.
Turut hadir, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail dan Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan Dan Kesejahteraan, Prof. Madya Dr. Mohd Fadil Bin Mohd Yusof
Terdahulu, Pusat Pengurusan Akademik (PPA) UMK telah mengadakan lawatan ke kediaman Harteenee Waekuechi, yang akan mendaftar sebagai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di UMK bagi Semester September 2024/2025.
Pada lawatan itu, pihak PPA telah menyampaikan taklimat dan sesi kounsultasi berkenaan pendidikan yang ditawarkan di UMK.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, teraspirasi dengan nilai teras Ihsan dan Keyakinan Malaysia Madani, UMK telah menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang membela nasib dan memberikan harapan serta peluang kepada insan tidak bernasib baik dengan menawarkan bantuan pembiayaan pendidikan kepada pelajar dari keluarga B40.
Katanya, UMK sebagai sebuah Universiti Awam di negeri ini khususnya bertekad memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan masyarakat setempat dalam aspek perkembangan ilmu pengetahuan dan meningkatkan sosio-ekonomi terutama kepada golongan B40 dan yang kurang bernasib baik.
“Harteenee Waekuechi, anak bongsu daripada lima adik –beradik menetap di Kampung Dusun Nyior sejak 17 tahun yang lalu. Allahamdullilah, pihak PPA telah mengambil inisiatif ini bagi membantu beliau untuk menyambung pengajian di UMK,” katanya.
Sementara itu, Prof. Dr. Mohammad berkata, pihak UMK telah menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang membela nasib dan memberikan harapan serta peluang kepada insan yang kurang kemampuan dengan menawarkan bantuan pembiayaan pendidikan termasuk pelbagai kemudahan kebajikan kepada mana-mana pelajar B40 yang mendapat keputusan cemerlang.
”Selain bantuan pembiayaan pendidikan, HEPA juga menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kebajikan pelajar antaranya bantuan komputer riba, makanan(food bank), sumbangan awal pengajian, pembiayaan program pembangunan siswa SULUNG, dapur pelajar dan pelbagai lagi. Pusat Islam UMK juga menyediakan bantuan seperti kupon makanan,zakat kepada pelajar asnaf dan lain-lain.
“Berdasarkan rekod, jumlah pelajar yang menerima sumbangan daripada HEPA (2023-2024) adalah seramai 1,808 orang pelajar. Justeru, pihak HEPA sentiasa komited,cakna dan sentiasa berusaha untuk mengenalpasti inisiatif untuk membantu para pelajar dalam kategori Asnaf/B40 Di UMK,” katanya.