BACHOK, 13 November 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini menerima kunjungan rasmi Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, TYT Edgard D. Kagan, di American Corner, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), UMK Bachok, Kelantan.
Delegasi Kedutaan Amerika Syarikat turut disertai oleh Senior Program Specialist, Mr. Riazurrahman Sadayan, dan Penyelaras Program American Space (Malaysia), Nurhajariah Matrang.

Delegasi yang diketuai oleh TYT Edgard D. Kagan disambut mesra oleh Timbalan Ketua Pustakawan merangkap Penyelaras American Corner Kelantan, Ts. Amirul Firdaus Zilah.
Beliau kemudian meluangkan masa untuk melawat American Corner dan turut menyempurnakan majlis penyerahan set alat muzik drum elektronik kepada American Corner Kelantan.

Sebelum itu, turut diadakan program “Chat with Diplomat: Sharing the Journey as Diplomat” bersama TYT Edgard D. Kagan yang dihadiri oleh seramai 30 pelajar UMK. Program santai tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mendengar perkongsian beliau mengenai kisah hidup, cabaran yang dihadapi, serta penglibatan beliau di Malaysia sepanjang menjawat jawatan Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia.








