PUTRAJAYA, 29 November 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas kejayaan penganjuran cemerlang Festival Idea (FOI) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, YBM Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir.
Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, UMK menyambut baik saranan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan agar festival ini dijadikan acara tahunan untuk menjana idea-idea baharu demi kemajuan negara.
“Inisiatif KPT ini amat tepat pada masanya menjadikan FOI platform yang mengumpulkan golongan intelektual dan ilmuan bagi berkongsi pandangan serta idea bernas yang mampu membawa negara ke arah kecemerlangan.
“Pihak UMK turut berterima kasih kepada YBM Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry kerana sudi melawat pameran inovasi yang memaparkan hasil ciptaan penyelidik UMK.
“Alhamdulillah, FOI 2024 turut menerima sokongan penuh daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan serta pengurusan tertinggi universiti,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Huzili Hussin, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail.
Festival Idea 2024 yang berlangsung dari 27 hingga 29 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang festival, termasuk pameran daripada agensi, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti, dan industri yang mempamerkan inovasi terkini.
Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan seni dan kebudayaan, termasuk acara Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA).
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara institusi pengajian tinggi, industri, dan pihak berkepentingan turut menjadi antara acara utama festival ini.
FOI 2024 juga menganjurkan forum IDEA, yang mengetengahkan diskusi panel bersama Tokoh pendidikan, teknologi, dan keusahawanan. Di samping itu, pameran inovasi mempamerkan hasil penyelidikan universiti dan institusi teknologi, menjadikan festival ini sebagai medan terbaik untuk membina kerjasama dan perkongsian idea bagi pembangunan negara.


