KOTA BHARU, 23 Oktober 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan sistem KAWOH Library UMK yang berteknologi tinggi dalam membantu penyelidik dan pelajar mengakses bahan-bahan Perpustakaan UMK dengan lebih mudah dan pantas.
Ketua Pustakawan UMK, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), En. Azman Hashim berkata, KAWOH atau singkatan bagi Knowledge, Access, Wide, Open, and Hub, merupakan sistem carian bahan perpustakaan yang lebih efisien.
Katanya, KAWOH UMK yang dibangunkan pada bulan September lalu adalah sebuah sistem Knowledge Discovery Service yang bertujuan untuk memudahkan para pengguna membuat carian bahan-bahan Perpustakaan UMK secara khususnya.
"Ia merupakan enjin carian yang menghimpunkan metadata dari kesemua Sistem Perpustakaan yang terdiri daripada Sistem Sierra, MyScholar, Discol, dan Epams.
KAWOH UMK juga telah mengindeks metadata dari beberapa sumber terbuka seperti Directory of Open Access Journal (DOAJ), Directory of Open Access Book (DOAB), HathiTrust Digital Library, dan repositori terbuka dari beberapa Universiti Awam di Malaysia.
"Sehingga kini, sebanyak 16 juta metadata telah diindeks dalam KAWOH UMK, menjadikannya satu sistem yang mampu membantu penyelidik dan pelajar dalam mengakses sumber yang lebih baik dan berkesan," katanya pada majlis pelancaran Program Semarak Ilmu 2024 yang bertemakan “Pembudayaan Ilmu Sepanjang Hayat” di Pasaraya Mydin Tunjong, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Sementara itu, En. Azman berkata, karnival yang berlangsung selama lima hari ini bermula pada 22 Oktober 2024 hingga 26 Oktober 2024.
Katanya, karnival ini merupakan peluang bagi UMK untuk menunjukkan komitmennya dalam memperkasa pendidikan dan meningkatkan literasi dalam kalangan rakyat.
"Pelbagai aktiviti interaktif berasaskan Science, Technology, Engineering, Art, and Mathematics (STEAM) diadakan untuk membantu komuniti membangunkan kemahiran literasi asas.
"Karnival ini turut menghimpunkan 73 institusi dan organisasi yang terlibat dengan pameran, jualan reruai, serta jualan produk usahawan, termasuklah 10 penerbitan Universiti Awam di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
“Kami juga bertuah kerana mendapat kerjasama daripada 13 penerbit buku ternama seperti Syarikat Muda Osman (SMO), Love Reading, Rimbunan Ilmu, Empayar Intelek, Jalur Inovasi, Wiserf, dan banyak lagi penerbit terkenal,” katanya.
Menurut Pengarah Karnival Semarak Ilmu, Encik Amirul Firdaus Zilah, sempena karnival ini juga berlangsung Penutupan Program Young Digital Maker Challenge (YDMC) 2024 yang menghimpunkan seramai 150 bakal teknologis dan saintis muda untuk mempamerkan daya kreativiti dan inovasi dalam dunia digital.
Katanya, pertandingan ini mendapat kerjasama daripada American Corner UMK bagi mengembangkan projek kreatif dan berintelektual yang sesuai dengan perkembangan teknologi terkini.
“Selain itu, salah satu tarikan utama karnival ini adalah Pameran Buku yang menampilkan pelbagai genre, termasuk fiksyen, non-fiksyen, buku kanak-kanak, dan buku rujukan.
"Pameran ini memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka dunia literasi dan menemukan buku-buku yang sesuai dengan minat masing-masing.
"Karnival Semarak Ilmu 2024 bukan sekadar sebuah program, tetapi satu inisiatif berimpak tinggi untuk membangunkan masyarakat yang celik ilmu. Dengan tema yang relevan dan lokasi yang strategik, penganjuran karnival ini diharap dapat memberikan sumbangan positif kepada budaya membaca dan pendidikan dalam kalangan masyarakat di Kelantan dalam pelbagai aspek,” katanya.
Karnival ini juga mendapat kerjasama strategik yang baik daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Polis Daerah Kota Bharu, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mydin Mohamed Holdings Berhad, usahawan ByCheFIZA, dan Kosmetik Maaez.