BACHOK 15 April 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut melaksanakan solat jenazah ghaib buat Perdana Menteri Malaysia Kelima, Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas solat Zohor, sebentar tadi.
Solat jenazah telah diimamkan oleh Pengarah Pusat Islam UMK, Dr. Mohd Rushdan bin Yaso'a di Masjid UMK Bachok Kelantan.
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia di usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 7.10 malam tadi.
Warga UMK merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Abdullah Ahmad Badawi dan semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.
Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pemergian beliau satu kehilangan besar kerana Allahyarham amat dekat dan sinonim dengan hati UMK.
Beliau berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham sangat besar buat UMK dimana dalam lipatan sejarah ketika beliau meyandang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau telah mengumumkan penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semasa pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 31 Mac 2006.
Seterusnya, detik penubuhan UMK pada 14 Jun 2006 melalui Kabinet, yang akhirnya membawa kepada perasmian UMK pada akhir 2006.
“Allahyarham Tun Abdullah juga meluluskan peruntukan awal sebanyak RM100 juta bagi merealisasikan penubuhan dan pembangunan UMK tanpa sebarang halangan adalah bukti nyata komitmen beliau terhadap pendidikan tinggi dan pembangunan wilayah.
“Pada tahun 2011, bagi menghargai jasa dan sumbangan cukup bermakna itu pihak UMK telah menganugerahkan Ijazah Kehormat dalam Bidang Pembangunan Modal Insan pada tahun 2011 di bawah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP),” katanya.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampuni segala dosanya, dan ditempatkan di kalangan para solihin.
Mudah-mudahan segala kebaikan yang beliau tinggalkan terus mengalir sebagai amal jariah beliau.