JELI 22 April 2025 I Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) menganjurkan Program Pengurusan Sisa Makanan (PenSIMA) di Dewan Utama, UMK Kampus Jeli, Kelantan, hari ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Dato’ Seri Darwis Abdul Razak, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Hijau Malaysia, Puan Shahrinaz Binti Maamor, Pengarah UMK Kampus Jeli, Prof. Dr. Aweng A/L Eh Rak dan Pengarah Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA), Ts. Dr. Maryana Mohamad Nor
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, Isu pengurusan sisa makanan kini menjadi cabaran global yang mendesak dimana statistik menunjukkan hampir satu pertiga makanan dunia terbuang begitu sahaja.
“Di dianggarkan 17,000 tan sisa makanan dihasilkan setiap hari, kebanyakannya berakhir di tapak pelupusan. Pembaziran ini bukan sahaja merugikan sumber berharga, malah menyumbang kepada peningkatan pelepasan gas rumah hijau dan perubahan iklim.
“Justeru, penganjuran PenSIMA amat tepat pada masanya kerana program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan tiga kumpulan sasaran utama - peniaga, petani, dan pelajar - tentang kepentingan menguruskan sisa makanan secara lestari,” katanya.
Tambah beliau, pengurusan sisa makanan yang lestari bukan sekadar memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga berpotensi menjana pendapatan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.
“Melalui pengkomposan, sisa makanan dapat ditukar menjadi baja biokompos berharga untuk kegunaan pertanian, sekaligus menyokong konsep ekonomi kitaran di mana "sisa" menjadi "sumber".
“Usaha ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan Iklim). Sebagai institusi pengajian tinggi, UMK komited menyokong agenda pembangunan lestari melalui penyelidikan, inovasi, dan pemindahan ilmu kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, siri bengkel sepanjang program ini - merangkumi Pengurusan Sisa, Penghasilan Kompos, dan Pemasaran - akan memberi pendedahan dan ilmu komprehensif kepada semua peserta.