SINGAPURA 30 April 2025 I Naib Canselor UMK, Prof. Ts Dr. Arham Abdullah, hari ini menerima perkenan menghadap Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra di Royal Plaza on Scotts, Singapura.
Prof. Ts. Dr. Arham mewakili Pengurusan Universiti Malaysia Kelantan telah mempersembahkan upacara Majlis Istiadat Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK Ke-14, yang berlangsung pada 5 hingga 8 Mei 2025 di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok.
Seluruh warga UMK menjunjung kasih kehadapan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota diatas Istiadat Pemasyuhuran sebagai Pro- Canselor UMK.
Sesungguhnya, pihak pengurusan UMK menyanjung tinggi diatas limpah perkenan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota mencemar duli menerima menghadap bagi tujuan upacara tersebut. Penzahiran kasih Yang Amat Mulia amat besar makna buat seluruh warga Universiti.
Allhamdullilah, Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan turut menzahirkan rasa bangga dan teruja dengan pencapaian memberangsangkan yang telah dicapai oleh UMK, khususnya dalam bidang pembangunan akademik, penyelidikan, keusahawanan, serta keterlibatan komuniti.
Sebagai tanda sokongan dan komitmen berterusan terhadap kecemerlangan UMK, Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan turut bertitah dan berhasrat agar universiti menganjurkan lebih banyak program strategik yang melibatkan penyertaan aktif baginda sebagai Pro-Canselor UMK.
Titah Tuanku bahawa penglibatan secara langsung dalam program-program akademik, kebajikan pelajar, serta inisiatif komuniti akan memperkukuhkan lagi hubungan antara universiti dengan pemegang taruh yang berkaitan.
Majlis penghadapan ini turut dihadiri oleh Yang Mulia Tengku Sri Kelana D’Raja, YM Dato’ Sri Raja Shah Zurin bin Raja Aman Shah, Pendaftar UMK, En. Khairul Eruwan bin Abdul Halim, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, En. Mohd Adzwan bin Kamaruzaman dan Pegawai Khas Naib Canselor, En. Muhamad Firdaus bin Nizam.
Naib Canselor mewakili seluruh warga UMK merafak sembah dan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan terhadap usaha memperkasa peranan UMK sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi terulung di Kelantan dan di peringkat nasional.
InsyaAllah, tanggal 5 Mei hingga 8 Mei 2025 berlangsungnya Majlis Istiadat Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK Ke-14 yang menjadi satu lagi upacara penuh bersejarah yang akan memperlihatkan kelangsungan aspirasi UMK dalam melahirkan graduan berdaya saing dan berjiwa keusahawanan.
