BACHOK 5 Mei 2025 I Tuanku Pro Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Yang Teramat Mulia, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra bertitah supaya pengajian di UMK wajar berorientasikan pembelajaran abad ke-21 dengan mengambil kira elemen berorientasikan gaya hidup digital, penguasaan teknologi, peralatan dan perkhidmatan digital serta cara kerja berasaskan pengetahuan.
Baginda bertitah, sentiasa memantau perkembangan serta pencapaian UMK sama ada pada peringkat nasional atau antarabangsa sepanjang tahun lalu.
Titahnya, dalam era globalisasi kita sedang menyaksikan perubahan kehidupan dalam konteks bekerja, komunikasi atau mengakses maklumat.
“UMK perlu menilai semula keseluruhan ekosistem universiti itu bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
"Penilaian berkenaan turut merangkumi kurikulum kaedah pembelajaran yang lebih relevan, program pengajian serta aktiviti penyelidikan," titah baginda lagi.
Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra juga berpendapat cabaran getir bakal dilalui oleh warga universiti berkenaan untuk terus kekal berdaya saing, relevan dan mampu melahirkan graduan yang memenuhi keperluan semasa.
Baginda juga menyeru semua pihak beriltizam untuk terus memartabatkan UMK sebagai sebuah Universiti berteraskan keusahawanan melalui perancangan sistematik, pelan tindakan dan pelaksanaan strategi yang ampuh setelah hampir dua dekad penubuhannya.
Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam titahnya menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua graduan, para pensyarah, staf pentadbiran dan sokongan serta ibu bapa yang telah menyumbang kepada kejayaan graduan
Mengakhiri titah baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah menerima pelbagai anugerah kecemerlangan pada Majlis Istiadat Konvokesyen kali ini.
Semoga anugerah dan pengiktirafan yang diterima ini menjadi titik permulaan untuk anda terus mengukir kejayaan yang lebih gemilang seterusnya menyumbang kepada nusa dan bangsa.