UMK Bachok 8 Januari 2026 I Seramai sembilan (9) orang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berasal dari Johor hari ini menerima tablet sumbangan daripada Mantan Datuk Bandar Pasir Gudang, YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin di Bilik Mesyuarat Pendaftar, Bangunan Canselori, UMK Bachok, Kelantan.
Majlis penyerahan sumbangan ini telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail, mewakili Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah.

Turut hadir, Ketua Pentadbir (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) YM Raja Azlan Raja Ismail.
Menurut beliau, sumbangan tablet itu merupakan komitmen Majlis Bandar Pasir Gudang dalam menyantuni dan menyokong pelajar untuk menjalani sesi pembelajaran dengan efektif selari perkembangan pesat era digital pada masa kini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga sentiasa proaktif menggalakkan agensi dan industri untuk terus membantu para pelajar Universiti Awam (UA) dalam kategori Asnaf/B40 dalam apa jua bentuk bantuan dan sumbangan.
Menyedari dan mendokong hasrat KPT ini, UMK melalui Bahagian Kebajikan dan Tatatertib Pelajar (HEPA) menyediakan pelbagai platform kepada agensi dan industri termasuk Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban pelajar kategori Asnaf/B40 sekaligus meringankan beban para pelajar sepanjang pengajian.

“Saya berharap agar lebih banyak agensi dan industri tampil menghulurkan sumbangan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan.
“Sumbangan ini juga diharapkan dapat membantu menuai kejayaan anak-anak sepanjang pengajian. Untuk semester ini, anak-anak mesti memperoleh dan mengekalkan sekurang-kurangnya PNGK 3.00 dan ke atas sepanjang pengajian,” jelas beliau.
Bantuan peranti tablet ini diharapkan dapat membantu melahirkan mahasiswa holistik yang akan menjadi pelapis dan pemimpin unggul pada masa akan datang.













