UMK Bachok 7 Januari 2026 I Seramai 154 Pegawai Kadet melibatkan 70 Kadet PALAPES Darat dan 84 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyertai Baris Pagi Badan Beruniform Bersama Komandan PALAPES Darat UMK bertempat di Laman Monsun, UMK Bachok, pagi tadi.
Majlis perbarisan dimulakan dengan lagu Negaraku dan Terbilang UMK diikuti dengan bacaan doa dan ikrar oleh kedua-dua badan beruniform.

Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah selaku Komandan PALAPES Darat UMK telah menyempurnakan acara tersebut.
Turut hadir, Pengarah Pusat Kokurikulum UMK, Dr. Razman Hafifi Redzuan.
Beliau menegaskan kepentingan disiplin diri, kepatuhan kepada arahan serta pembentukan jati diri yang kukuh dalam kalangan badan beruniform.
“Setiap pegawai kadet wajar mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi, berdaya tahan dari segi fizikal dan mental serta mengamalkan nilai kepimpinan yang baik sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.

“Majlis pada pagi ini adalah platform terbaik bagi pengukuhan disiplin, kepimpinan dan sahsiah pelajar melalui penglibatan pelajar dalam badan beruniform.
“Selain itu, acara ini dapat mewujudkan semangat berpasukan, disiplin dan kesiapsiagaan mahasiswa dalam kalangan anggota badan beruniform selaras dengan aspirasi UMK dalam melahirkan graduan yang holistik, berintegriti dan berdaya saing,” katanya.
Kehadiran menyeluruh kedua-dua pasukan ini mencerminkan semangat kebersamaan serta kerjasama erat antara badan beruniform di bawah seliaan Pusat Kokurikulum UMK.

Komandan PALAPES Darat UMK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jurulatih serta anggota yang terlibat atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan majlis Baris Pagi ini dengan jayanya.















