KEJAYAAN

Kejayaan

ARCA HARIMAU BERANTAI MENANG PINGAT PERAK DI HARBIN, CHINA

ARCA ais 'Harimau Berantai' yang diinspirasikan daripada mitos kaum pribumi Mah Meri membawa tuah kepada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) apabila dipilih sebagai pemenang tempat kedua pada pertandingan ukiran ais, The Sixth International Collegiate Snow Sculpture Competition, yang berlangsung di Harbin, China, pada 4 hingga 7 Januari 2014.

Idea mengetengahkan objek ‘Harimau Berantai’ adalah berdasarkan salah satu ritual puak Mah Meri iaitu antara kaum pribumi yang tinggal di Pulau Carey, Selangor, yang terkenal dengan hasil karya seni berunsurkan alam semesta berdasarkan kepada kepercayaan yang diwarisi nenek moyang mereka.

Menurut Dekan FTKW, Y.Bhg. Prof. Dr. Abu Hassan bin Hasbullah, menerusi kemenangan itu membuktikan bahawa Malaysia secara umumnya, dan UMK khususnya mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara- negara maju, khususnya dalam bidang kesenian.

Beliau berkata, pengalaman di Harbin, China setidak-tidaknya menyiratkan bahawa segala perbezaan budaya, politik, bahasa, agama, dan adat resam akhirnya melebur dalam salah satu dimensi universal manusia, iaitu dimensi kesenian.

“Penat lelah serta berbagai dugaan yang ditempuh sepanjang acara tersebut ternyata berbaloi apabila pasukan UMK- FTKW sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua bagi pertandingan tersebut,” katanya.

Tambah Prof. Dr. Abu Hassan, pertandingan ukiran salji ini adalah satu acara penting yang dimasukkan dalam kalendar musim sejuk Harbin 2014 anjuran oleh Harbin Engineering University (HEU) dalam memenuhi acara yang berlangsung di sekitar Harbin sepanjang musim sejuknya.

“Menerusi kerjasama antara HEU dan UMK yang dimeterai pada bulan September 2012, maka UMK telah dijemput sekali lagi menyertai pertandingan ini. Pada penyertaan kali pertama pada tahun lepas UMK menjadi peserta jemputan, di mana pasukan dari UMK telah berjaya membawa pulang trofi tempat kedua, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Acara tahunan yang telah dijalankan sejak tahun 2007 ini telah menarik minat penyertaan dari pelbagai institut pengajian tinggi dari berbagai negara, khususnya dari Amerika Syarikat, Kanada, Rusia, Thailand, England, dan pelbagai lagi negara lain,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Rekabentuk dan Teknologi Kreatif, FTKW, Encik Haris Abadi bin Abdul Rahim, berkata, kemenangan ini adalah hasil daripada pengalaman pada tahun lepas dimana UMK diwakili oleh tiga orang pelajar dan dua orang pensyarah telah berangkat ke Harbin, China untuk merealisasikan impian ini.

Katanya, pertandingan ini telah berlangsung selama empat hari di mana setiap kumpulan peserta diberikan sebuah kiub salji mampat berukuran 3 meter x 3 meter x 3.5 meter (tinggi) untuk diukir menjadi arca dengan menggunakan beberapa alatan tertentu.

“Setiap kiub salji yang besar itu telah disusun ditepi jalan sepanjang pintu masuk utama universiti tersebut sehinggakan sesiapa yang melihatnya pasti terpegun dan ternanti-nantikan hasil kreativiti yang bakal diekspresikan oleh setiap kumpulan peserta dari segenap pelusuk dunia,” ujarnya.

Tambah Haris Abadi, pasukan FTKW-UMK memilih konsep Harimau Berantai sebagai salah satu objek ritual yang bertujuan untuk mengelakkan roh harimau yang mati akibat perangkap mengganggu mereka.

“Ia dihasilkan untuk memberi penghormatan kepada roh-roh harimau tersebut bersandarkan analogi kaum Mah Meri yang diolah daripada perspektif dan sudut yang berbeza. Pasukan kami menekankan konsep 'menghormati alam', dimana karya asal harimau berantai telah diolah dalam bentuk yang lebih dramatik menerusi objek daripada rangka seekor harimau yang dirantai pada dinding perangkap.

“Bentuk arca ini juga direka khas untuk menghasilkan arca ais yang lebih kompleks dan terperinci (menampilkan bentuk tulang-temulang dan rantai yang bersambungan), sebagai satu cabaran untuk kami mencapai satu tahap yang lebih tinggi dalam bidang arca ais,” katanya.

Mengulas kejayaan itu, Haris Abadi, menyifatkan sebagai tugasan berat yang perlu dipikul oleh pasukannya apabila terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan daripada awal pagi hingga lewat malam.

“Bayangkan, pada malam terakhir kami bekerja sehingga jam 3 pagi dengan suhu mencecah -28 darjah celcius, namun hasil kerja berkumpulan kami berjaya merealisasikan impian kami daripada sebuah kiub sajli mampat perlahan- lahan memperlihatkan bentuknya yang tersembunyi,” tambahnya.

Katanya, berkat kesungguhan pasukan kami, bentuk-bentuk kasar yang pada awalnya tampil sebagai tarahan-tarahan geometrik akhirnya menampilkan susuk-susuk satah yang lebih halus.

“Akhirnya, seperti yang dijangka, kami berjaya menyiapkan keseluruhan bahagian demi bahagian dari arca tersebut dengan sempurna dengan mengambilkira ukur-banding dan juga kesan jalinan seperti yang telah dirancang sebelumnya,” jelasnya.

arca harimau berantai2

Web Traffic

2.png8.png2.png9.png5.png5.png
Today234
Yesterday340
This week1306
This month4803
Total282955

Who Is Online

3
Online

2024-04-18

Search