KEJAYAAN

Kejayaan

UMK KOMITED PERKUKUH KERJASAMA DENGAN UNIVERSITI KYUSHU & OSAKA UNIVERSITI DI JEPUN


FUKUOKA, 18 November 2023 | Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kyushu University (KU) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi kerjasama dua hala dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar serta staf untuk kerjasama di peringkat antarabangsa.
MoU kedua-dua kerjasama itu ditandatangani oleh Naib Cancelor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak dan Dekan Fakulti Pertanian, Kyushu University, Prof. Dr. Miki Nakao, di Bandar Fukuoka, Jepun.
Kerjasama perjanjian dengan negara matahari terbit itu turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan Pengarah Pejabat Antarabangsa Kyusyu University, Prof. Dr. Igura Noriyuki.

021224-03-02.jpg
Prof. Dato’ Dr. Razli, berkata dengan terjalinnya kerjasama ini telah memperkukuhkan hubungan yang sudah lama terjalin antara UMK dan KU bermula dari tahun 2018 lagi melibatkan penyelidik dari kedua-dua universiti tersebut.
Beliau berkata, hasil kerjasama ini juga telah menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh artikel jurnal berimpak tinggi termasuklah perkongsian sumber melibatkan pertukaran sampel serta perkhidmatan analisis.
“Pada kerjasama baharu ini kedua-dua universiti komited untuk meneruskan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran pelajar dan penerokaan ruang kerjasama baharu termasuk perkongsian sumber seperti fasiliti, bahan dan dana penyelidikan.
“Kami di UMK optimis untuk membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara kedua universiti dan tidak terhad hanya kepada penyelidikan malah melibatkan pertukaran pelajar, mobiliti pelajar dan staf serta pelbagai lagi ruang kerjasama,” katanya.

021224-03-03.jpg
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Arham berkata, KU antara universiti yang direkodkan berada pada kedudukan teratas ranking antara universiti terbaik di Jepun.
Katanya, KU mempunyai reputasi yang amat baik di dunia memberikan kelebihan kepada penyelidik UMK dan akses kepada fasiliti, infrastruktur serta teknologi di KU.
“Melalui kerjasama kami ini dapat meningkatkan reputasi dan keterlihatan penyelidik UMK melalui penerbitan dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi.
“Pada lawatan kerja ini turut diadakan satu seminar pendek mengenai UMK dan perhutanan, industri perhutanan dan kayu di Malaysia yang dihadiri oleh profesor, penyelidik dan pelajar KU,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Dekan FBKT, Prof. Madya Dr. Sarizam Mamat dan Dr. Andi Hermawan, iaitu antara penyelidik yang banyak terlibat dengan kerjasama antara penyelidik di KU terutamanya dalam bidang sains dan teknologi kayu.
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Sarizam berkata, satu perbincangan untuk kerjasama dengan Osaka Universiti telah diadakan bagi penerokaan bidang kerjasama baharu dalam bidang additive manufacturing.

021224-03-04.jpg
Perbincangan ini dihadiri oleh Timbalan Presiden Osaka Universiti, Prof. Dr. Manabu Tanaka dan Prof Dr. Katsuyoshi Kondoh dan Prof. Ts. Dr. Arham.
Beliau memaklumkan bahawa kerjasama ini lebih menjurus kepada pembiayaan penyelidikan melalui geran padanan dan pengenalan beberapa dana yang disediakan oleh Osaka Universiti.
“Skim Geran padanan dan dana yang ditawarkan ini boleh dimanfaatkan oleh penyelidik UMK bagi membiayai penyelidikan di UMK dan Joining and Welding Research Institute (JWRI), Osaka Universiti.
“Ini adalah hasil daripada kolaborasi dan aktiviti penyelidikan sejak tahun 2012 lagi dimana satu Memorandum Kerjasama (MoA) yang telah ditandatangani antara UMK dan JWRI pada Disember 2019.
“MoA ini merupakan kesinambungan kepada aktiviti kerjasama penyelidikan selama ini dan diharap dapat menjadi titik tolak kepada ruang kerjasama yang lebih luas melibatkan lebih ramai penyelidik dari UMK selepas ini,” katanya.

021224-03-05.jpg

Web Traffic

2.png8.png6.png3.png6.png3.png
Today275
Yesterday316
This week275
This month8211
Total286363

Who Is Online

2
Online

2024-04-29

Search