KEJAYAAN

Kejayaan

IBU HIBA TERIMA IJAZAH ARWAH ANAK BONGSU


BACHOK 6 November 2023 I Suasana hiba menyelubungi hadirin yang berada di Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok sebaik sahaja nama Allahyarham Muhammad Ibrahim Abd Aziz, pelajar Tahun 4, Ijazah Sarjana Muda Geosains , Fakulti Sains Bumi (FSB), diumumkan sebagai penerima ijazah secara anumerta.
Ibu Allahyarham, Rohana Sahat, 61, dilihat mengesat air mata sebaik sahaja menerima skrol ijazah anumerta yang disampaikan Tengku Pro-Canselor UMK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

021224-05-02.jpg
Arwah merupakan salah seorang daripada 2,839 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-13 yang berakhir esok.
Allahyarham Muhammad Ibrahim yang berasal dari Kampung Parit Buaya, Muar, Johor meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal pada 12 November 2022.
Menurut Rohana, arwah Ibrahim adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan sepanjang pengajian di UMK beliau sangat disenangi oleh pensyarah dan rakan-rakannya ketika di kampus.
Arwah Ibrahim menyimpan impian untuk menjadi seorang usahawan sebaik sahaja tamat pengajian di UMK.
Rohana berkata, Allahyarham Ibrahim menyimpan impian untuk menjadi seorang usahawan sebaik sahaja tamat pengajian di UMK dan sejak kecil lagi arwah banyak membantu dirinya berniaga di kampung.
Tambahnya, setiap kali cuti semester arwah akan membantunya berniaga di kantin di sekolah pula.
“Saya sangat terasa kehilangan Ibrahim kerana dia rapat dengan saya dan keluarga. Dia juga seorang yang kelakar dan suka menceriakan suasana apabila kami berkumpul.
“Arwah juga penyayang dan akan memimpin tangan saya kalau berjalan ke mana-mana. Dia tidak segan untuk memeluk saya walaupun di hadapan rakan-rakan hingga digelar anak manja mak,” katanya.
Sementara itu, Yusof Abd Aziz, 34, abang kepada arwah Muhammad Ibrahim memberitahu bahawa beberapa bulan sebelum peristiwa kemalangan itu arwah suka melancong seorang diri.
“Kami sekeluarga pernah bercuti di Cameron Highland dan arwah Ibrahim mengambil keputusan untuk menyambung percutian seorang diri di Pulau Pinang.
“Selain itu, rakan-rakan arwah juga ada berkongsi kepada kami yang beliau gemar bersendirian diluar bilik di kolej kediaman selepas solat subuh.
“Arwah juga pernah bergurau sekiranya beliau meninggal minta untuk dikebumikan hadapan rumah kami. Kami anggap itu hanya gurauan dan arwah tetapi Allhamdullilah rezekinya kerana kuburnya betul-betul berada di barisan hadapan dan berada ditepi jalan kawasan perkuburan.
“Sayangnya arwah kepada ibu sehingga sampai dah meninggal mahu berada dekat dengan ibunya,” katanya.

Web Traffic

2.png8.png6.png1.png7.png0.png
Today82
Yesterday316
This week82
This month8018
Total286170

Who Is Online

1
Online

2024-04-29

Search