KEJAYAAN

Kejayaan

ANAK TUKANG KEBUN DINOBAT SEBAGAI PENERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN UMK


BACHOK 4 November 2023 I Anak ketiga kepada seorang tukang kebun memperoleh Anugerah Kecemerlangan Tajaan Industri sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan Ke-13, di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok, Kelantan, hari ini.
Muhammad Zulhilmi Sidek, 24, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Senibina Dalaman, Fakulti Senibina dan Ekistik (FSE), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), meraih Anugerah Pelajar Kreatif Arkitek Mohd Asri iaitu tajaan dari Masa Arkitek.
Beliau bersyukur dengan tekadnya untuk membantu mengubah kehidupan keluarganya yang susah akhirnya membuahkan hasil meskipun keluarga tidak mampu tetapi Muhammad Zulhilmi berjaya membuktikan kemiskinan keluarga menjadi pendorong kejayaannya pada hari ini.
“Allhamdullilah, kejayaan hari ini adalah hasil usahanya untuk belajar bersungguh-sungguh untuk membalas pergobanan ibunya yang bersusah payah menyara dan membesarkan saya serta adik beradik lain.

021224-07-01.jpg
Menurut Muhammad Zulhilmi, keluarganya hanya bergantung kepada ibunya, Sulaini Binti Musa, 59, yang hanya bekerja sebagai pekerja am (tukang kebun) dengan pendapatan sebanyak RM1500, sementara ayahnya sudah tidak bekerja kerana faktor umur iaitu sudah berumur 74 tahun.
“Kakak sulung saya adalah suri rumah manakala kakak kedua hanya bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang. Adik lelaki juga masih belajar peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) manakala adik bongsu perempuan pula bakal melajutkan pengajian ke peringkat diploma di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).
“Keadaan keluarga ini yang menjadi pengikat iltizam untuk saya belajar bersungguh-sungguh supaya saya dapat membantu keluarga dan dapat membalas jasa mereka,” katanya.
Muhammad Zulhilmi sejak kecil lagi sudah pun pandai mencari duit dengan bekerja dengan mengumpul besi buruk dengan ayah untuk dijual.
“Hasil daripada jual besi buruk itulah yang dapat menyara kehidupan kami sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Saya dan adik beradik yang lain sudah mendapat bantuan sejak dari sekolah rendah lagi. Setiap kali ada bantuan atau sumbangan di sekolah pasti nama-nama kami yang tersenarai dahulu kerana tergolong dalam keluarga yang susah.
“Saya masih ingat pelbagai bantuan yang diterima seperti zakat, duit raya, bantuan awal persekolahan, barang keperluan barangan rumah dan banyak lagi,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Zulhilmi juga bertekad tidak mahu menyusahkan keluarga dan mengakui meminati bidang keusahawanan sejak dari kecil lagi.
Beliau memulakan perniagaan dengan menjual makanan ringan seperti Apollo dan coklat warna warni sejak bangku sekolah rendah.
“Selepas itu, saya meneruskan jual beli telefon terpakai di aplikasi atas talian ketika di sekolah menengah dalam jangka masa yang agak panjang dan menerima banyak permintaan.
“Saya terpaksa berniaga ini kerana dengan hasil keuntungan inilah saya dapat menampung perbelanjaan seharian dan simpanan sendiri. Pada ketika itu memang susah dan mahu wang untuk berbelanja,” katanya.

021224-07-02.jpg
Menurut Muhammad Zulhilmi, perniagaannya mula berkembang dengan memulakan perniagaan busana atau kurta pakaian lelaki muslim ketika memulakan pengajian di peringkat diploma.
“Banyak juga keuntungan yang diperoleh semasa menjual kurta pada waktu itu kerana masih belum ada persaingan. Bermula daripada saya mula mengumpul modal untuk memulakan sebuah perniagaan yang lebih besar sedikit.
“Pada suatu hari, ketika ingin menyambut hari raya, saya ingin mencari jubah untuk menyambut hari raya Aidilfitri. Namun, saya dapati jubah dipasaran agak tidak berkualiti dan rekabentuk yang tidak menarik.
“Bermula dari situlah, saya berhasrat untuk memulakan sebuah perniagaan dengan menjual jubah yang unik dan berkualiti,” katanya.
Pada tahun 2021, Muhammad Zulhilmi berjaya menubuhkan sebuah syarikat yang dinamakan Al Kahfi Exclusive Venture yang berdaftar dengan SSM.
“Walaupun saya masih belajar, tidak menghalang saya melakukan semua kerja termasuk proses untuk menghasilkan jubah iaitu dari A hingga Z dengan pembelian kain secara borong, mencari tukang jahit, ambil pesanan klien dan membuat rekabentuk kotak bungkusan sendiri.
“Sehinggalah jubah itu siap dijahit dan proses pos tempahan pelanggan. Untuk promosi saya menggunakan media sosial di laman Facebook, Instagram, Shopee dan Tik Tok.
“Selain memberi tumpuan pada perniagaan, saya juga banyak menyertai program dan pertandingan keusahawanan yang dianjurkan di peringkat Universiti serta anjuran industri,” katanya.
Tambah beliau, hadiah kemenangan dari pertandingan itulah beliau mendapat modal perniagaan dan selepas setahun syarikat beroperasi dengan jaya biarpun masih bergelar pelajar tahun akhir di UMK.
Alhamdulillah, keuntungan syarikat ini telah mencapai lebih jualan sebanyak RM25,000.00 dalam masa setahun walaupun hanya menjual jubah lelaki.
“Saya tidak percaya juga kerana subjek dalam senibina ini bukanlah mudah, kerana ia memerlukan fokus dan usaha yang bersungguh untuk menjadi pelajar senibina yang komited.
“Tetapi, saya selalu berpesan pada diri sendiri bahawa, kejayaan yang saya perolehi ini sebenarnya adalah dari keberkatan doa dan restu mak ayah dan guru saya.
“Mereka ialah orang yang kuat mendoakan kejayaan saya sehingga hari ini. Saya bersyukur kerana mempunyai mak ayah yang selalu ada dengan saya. Saya berdoa setiap kali untuk membawa mak ayah menunaikan umrah. Insya-Allah, saya harap impian saya ini menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.

Web Traffic

2.png8.png6.png3.png0.png2.png
Today214
Yesterday316
This week214
This month8150
Total286302

Who Is Online

2
Online

2024-04-29

Search