KUALA LUMPUR 3 April 2024 I Tiga pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya membangunkan aplikasi dikenali Grow Your App STEM Kit yang berupaya membantu kanak-kanak prasekolah untuk mengenali asas keperluan tumbuhan yang diintegrasikan dengan applikasi community-based growth tracker.
Lebih membanggakan, kit yang dihasilkan menerusi teknologi Internet of Things (IoT) ini telah memenangi tempat ketiga bagi kategori di bawah kategori Make STEM Fun Again di Program Sustainathon Malaysia 2024, yang berlangsung di di Asia School of Business (ASB), Kuala Lumpur, pada 3 April 2024.
Ciptaaan inovasi pelajar tersebut telah berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000.00 dan sijil penyertaan.
Mengulas kejayaan itu, Pengarah Ignite Venture Lab (IVL), Dr. Hana Yazmeen Hapiz berkata, penganjuran TCS Sustainathon Malaysia 2024 oleh Tata Consultancy Services dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertemakan Empowering Women in STEM bertujuan mencipta inovasi baharu dengan memanfaatkan teknologi digital dan secara aktif mencari penyelesaian untuk isu kelestarian.
Katanya, UMK disenaraikan sebagai Top 10 finalis TCS Sustainathon Malaysia 2024 untuk membentangkan projek Grow Your App STEM Kit iaitu sebuah medium pembelajaran untuk pengetahuan asas kepada kanak-kanak pra-sekolah mengenai keperluan tumbuhan.
Katanya, projek ini dihasilkan oleh tiga pelajar Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan (FTKW), Siti Nur Syafiqah Binti Abdul Latif, Muslihah Binti Mohd Norhisam dan Siti NorSyafiqah Binti Muhamad Hanafiah dibawah bimbingan beliau sendiri.
“Kos keseluruhan untuk membangunkan prototaip aplikasi dan kit ini berjumlah RM500.00 yang dihasilkan untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak prasekolah tentang fundamental needs of living things dan contohnya tumbuh-tumbuhan. Dengan integrasi aplikasi telefon Growth tracker, produk ini berupaya untuk menarik minat kanak-kanak untuk mendalami sains dan kekal berinteraksi dalam komuniti aplikasi tersebut.
“Inovasi ini mempunyai potensi menarik kanak-kanak pra-sekolah untuk pengetahuan asas dalam bidang pertanian. Kit ini dilengkapi dengan soil nutrient tracker, planting pot, beaker, dan benih tumbuhan yang boleh dipilih contohnya tomato, sawi dan lain-lain,” katanya.
Dr. Hana Yazmen berharap wang hasil kemenangan pertandingan ini akan digunakan untuk mengkomersialkan produk kit yang akan dipasarkan pada hujung tahun ini.