SEMARANG, INDONESIA 6 Ogos 2024 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Perguruan Tinggi Muhammadiyah/Aisyiyah, Indonesia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama pendidikan dan bidang keusahawanan di peringkat antarabangsa.
Kerjasama bersejarah ini turut disaksikan oleh 56 Rektor dan Timbalan Rektor Universitas Muhammadiyah di Indonesia.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Bin Abdullah bagi mewakili Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak.
Sementara itu, pihak Perguruan Tinggi Muhammadiyah/Aisyiyah, Indonesia diwakili oleh Sekretaris Majelis Pendidikan Tinggi PP Muhammadiyah Prof Dr Ahmad Muttaqin.
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, MoU itu meliputi aspek kerjasama mobiliti, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan lain- lain kerjasama.
Beliau berkata, kerjasama ini menjadi penanda aras kepada usaha pengantarabangsaan UMK dan mercu tanda penting antara kedua-dua institusi terkemuka ini.
“MoU itu antara lain memberi fokus kepada bidang keusahawanan khususnya aktiviti penjanaan pendapatan bagi kedua- dua belah pihak. Strategi yang kukuh akan dibincangkan antara Rektor dan Timbalan Rektor bagi penganjuran kursus yang berpotensi untuk menjana pendapatan.
“Salah satu strategi ialah memperkenalkan penubuhan Pusat Pembelajaran Pesisir UKM Indonesia dengan enam buah universiti awam di Malaysia. Pakar akademik di Indonesia berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia tanpa perlu ke Malaysia melalui kaedah Open and Distance Learning (ODL),” katanya.
Mengulas lanjut, Prof. Ts. Dr. Arham menyatakan bahawa UMK memberikan komitmen yang tinggi terhadap aktiviti penyelidikan dengan memperuntukkan geran padanan sebanyak RM 500,000.00 setiap tahun untuk kerjasama tersebut.
Katanya, ketika ini seramai 20 orang pelajar Universitas Muhammadiyah Riau(UMRI) terlibat dengan kerjasama mobiliti dan sedang menjalani aktiviti tersebut di UMK. Diharap jumlah pelajar yang terlibat dengan mobiliti akan bertambah pada masa akan datang.
“Jumlah pelajar pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dari Indonesia yang telah mendaftar dan melanjutkan pengajian di UMK adalah seramai 78 orang, termasuk 35 orang ahli akademik dari UMRI. Daripada jumlah tersebut, 14 orang dijangka bergraduat pada tahun 2024/2025,” katanya.
Dalam pada itu, kerjasama kukuh ini juga bertujuan untuk memelihara dan mempergiatkan kerjasama, khususnya dalam bidang pendidikan, menekankan kepakaran penyelidikan dan kolaborasi melibatkan pensyarah dan pelajar kedua-dua institusi.
“Selain itu, MoU ini juga membincangkan beberapa insiatif lain seperti pelan tindakan dan garis masa pelaksanaan bagi kerjasama akademik, mobiliti dan penyelidikan antara kedua- dua belah pihak,” katanya lagi.