MELAKA 6 Ogos 2024 I Tiga pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (SAA), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memenangi tempat ketiga dalam pertandingan NAPSAC InterVarsity Challenge: Eksplorasi Piawaian Perakaunan Islam, sempena Persidangan Akauntan Sektor Awam Kebangsaan (NAPSAC) Ke-31.
Pelajar jurusan SAA itu diketuai oleh Musthaqim bin Mazlan dan Nur Sharafina binti Bashir Ghouse serta Nur Izzah binti Ghazali telah menyertai pertandingan yang julung-julung kali diadakan di Putrajaya, pada 29 hingga 30 Julai 2024.
Hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Y.B Lim Hui Ying, pada Majlis Perasmian Persidangan Akauntan Sektor Awam Kebangsaan (NAPSAC) Kali Ke-31, di di Hotel Hatten, Melaka, hari ini.
Turut hadir, Akauntan Negara Malaysia (ANM) Puan Nor Yati Ahmad, Presiden PSA, Tuan Haji Ayub Zaidin dan Dekan FKP UMK, Prof. Madya Ts. Dr. Zailani bin Abdullah.
Institut Perakaunan Negara (IPN) dengan kerjasama Persatuan Akauntan Sektor Awam Malaysia (PSA) meletakkan tema pertandingan ini berdasarkan kepada Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat, dan Wakaf (PPIBZW), selaras dengan piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).
Seramai 598 akauntan Sektor Awam dari seluruh negara menyertai persidangan NAPSAC bertemakan Memacu Perakaunan Awam untuk Masa Hadapan yang Mampan. Persidangan ini membincangkan enam topik yang memfokuskan kepada trend dan fokus tadbir urus peringkat global iaitu kemampanan (sustainability) dan pendigitalan.