BANGI 3 September 2024 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH) telah diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Centre of Excellence) COE KKP dalam bidang Kesihatan Pekerjaan Bagi Higien Industri dan Ergonomik oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia , Dato' Sri Khairul Dzaimee Daud kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham bin Abdullah, mewakili YBhg. Dato’ Prof. Naib Canselor UMK bersempena Konvensyen Pendidikan dan Penyelidikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2024, di Bangi Avenue Convention Centre, Selangor.
Selain UMK, turut memperoleh pengiktirafan sijil Kecemerlangan (Centre of Excellence) COE KKP melalui penilaian yang teliti oleh Badan Pensijilan Bebas ialah Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).
Menurut Prof. Ts. Dr. Arham, pengiktirafan COE KKP kepada CMeOSH UMK ini dilihat sebagai salah satu institusi pengajian tinggi yang berpotensi dalam menjalankan aktiviti pengembangan ilmu, teknologi dan kepakaran serta kemahiran khusus KKP pada masa akan datang.
Beliau berkata, ini berdasarkan kepada kejayaan dan pencapaian CMeOSH UMK antaranya ialah 1st Best Practice Program Systematic Occupational Health Enhancement Level Programme (SOHELP) peringkat Negeri Kelantan 2018 serta penerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 (Kategori Institut Pendidikan Tinggi.
“Lebih membanggakan, CMeOSH UMK telah mengecapi kejayaan dalam penarafan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ISO 45001:2018) pada 2019.
“Beberapa siri kejayaan dan pencapaian ini telah berjaya meletakkan CMeOSH UMK sebagai sebuah universiti dan institusi pengajian tinggi di landasan yang tepat dalam aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Ini membolehkan pihak CMeOSH mengembangkan lagi potensi yang ada untuk merebut peluang pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, proses pengiktirafan COE KKP oleh Badan Pensijilan Bebas telah bermula daripada Sesi Kunjungan Hormat Ahli Jawatankuasa Aktiviti 3 Program 3 Teras Strategik 1 Pelan Induk Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) ke UMK pada 31 Mei 2022.
Tahap seterusnya ialah proses penghantaran dokumen UMK bagi penilaian awal COE KKP dan penilaian akhir daripada Badan Penilai telah diadakan pada 24 Oktober 2023.

