KOTA BHARU, 5 November 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi kerjasama dalam menawarkan Modul Literasi Tenaga di ketiga-tiga universiti tersebut.
MoU ini disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak, dan Timbalan Dekan Akademik Pusat Pengajian Citra Universiti (Citra-UKM), Dr. Affifuddin Husairi Mat Jusoh @ Hussain, di Ignite Venture Lab, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan. Sementara itu, Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari, menandatangani MoU secara maya.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Huzili Hussin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMK, Prof. Dr. Mohammad Ismail, Dekan (Business School), Universiti Tenaga Nasional, Prof. Madya Dr. Bakhtiar Alrazi, serta Pengurus Besar Negeri Kelantan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Muhamad Azli Ab Rahim.
Pada majlis tersebut, turut berlangsung majlis Pemeteraian Surat Tawaran Kerjasama antara UMK dan TNB.
Menurut Dato’ Prof. Dr. Razli, MoU ini bertujuan untuk merangka dan melaksanakan kursus kurikulum Literasi Tenaga yang akan ditawarkan di UMK, UNITEN, dan UKM.
Katanya, melalui kursus ini, para pelajar akan lebih peka terhadap isu berkaitan tenaga, kepentingan penggunaan tenaga secara bijak, serta memupuk budaya penjimatan tenaga dalam masyarakat Malaysia.
“Selain itu, kerjasama ini juga membuktikan komitmen tinggi terhadap Malaysia Energy Literacy Program (MELP), yang merupakan inisiatif penting untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat mengenai isu-isu tenaga pada masa kini.
“Modul kursus yang ditawarkan ini secara tidak langsung akan mendidik generasi muda tentang kepentingan penggunaan tenaga secara bijak dan menggalakkan amalan pengurusan tenaga yang lebih efisien,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Prof. Dr. Razli turut menegaskan bahawa kerjasama strategik antara tiga universiti terkemuka ini – UMK, UNITEN, dan UKM – serta kolaborasi UMK dan TNB adalah langkah penting dalam memperkukuhkan, menggalakkan, dan membangunkan kerjasama melalui MELP untuk faedah bersama.
“Kerjasama ini juga memberi fokus kepada pembinaan kapasiti, termasuk aktiviti pelajar, latihan, bengkel, dan sesi perkongsian ilmu yang relevan dengan program ‘Literasi Tenaga’. Selain itu, kami akan meneroka peluang untuk pembangunan berterusan program ini, penerbitan bersama, serta aktiviti penyelidikan. Kami juga akan membuka ruang bagi latihan industri dan pembangunan kerjaya pelajar,” katanya.
