KOTA BHARU, 30 Oktober 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEI) dengan kerjasama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Center for Entrepreneurship Education and Development (CEED), Ignite Venture Lab (IVL), dan Pusat Usahawan IKS Kelantan, berganding bahu menganjurkan Program PUNB X UMK Uni-Challenge 2024.
Program PUNB X UMK Uni-Challenge 2024 menjadi platform terbaik bagi mahasiswa untuk mencadangkan idea, membangunkan pelan perniagaan, serta melaksanakan inisiatif keusahawanan, selain menilai impak kepada komuniti, khususnya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail, berkata program ini merupakan kerjasama antara PUNB dan UMKEI untuk menyediakan platform kepada pelajar dalam membangunkan perniagaan dan memperluas jaringan kerjasama dengan usahawan.
Menurut beliau, setiap kumpulan pelajar perlu mencadangkan inovasi dan melaksanakan idea tersebut demi manfaat komuniti setempat. Ini adalah contoh konsep keusahawanan sosial, iaitu pendekatan keusahawanan yang memberi impak positif kepada masyarakat.
“Tugasan utama 15 kumpulan peserta bersama 12 mentor pensyarah ini adalah untuk berentap dalam sesi pitching, di mana mereka akan memberikan idea dan solusi terbaik bagi menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh 15 komuniti usahawan dari PMKS di sekitar Kelantan.
“Para peserta akan melalui fasa-fasa program yang telah ditetapkan bermula pada Ogos 2024, termasuk Sesi Libat Urus bersama Usahawan PMKS, Sesi Webinar bersama pakar industri keusahawanan sosial, dan mengikuti sesi Bootcamp bersama penceramah jemputan.
“Pada sesi pitching pusingan akhir, lapan kumpulan finalis akan berentap untuk mempamerkan kebolehan dan kreativiti mereka dalam menangani situasi yang dihadapi oleh usahawan, sama ada dalam aspek pemasaran, penjenamaan, pengurusan kewangan, inventori, dan lain-lain,” katanya pada Majlis Penutup PUNB X UMK Uni-Challenge 2024 di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kanan UMKEI, Prof. Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff; Ketua Jabatan Pemasaran & Komunikasi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Encik Ahmad Nazlee Idris; Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED), Dr. Mohd Safwan Bin Ghazali; dan Pengarah Ignite Venture Lab (IVL), Dr. Hana Yazmeen Hapiz.
Hadir sama, Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME), Dr. Mohd Ikhwan Aziz; Pengarah Program PUNB X UMK Uni-Challenge 2024, Encik Muhammad Naqib Mat Yunoh; dan Pengerusi Pusat Usahawan IKS Kelantan, Encik Mohd Rahim Mat Ali.
Sementara itu, Prof. Dr. Hakimin berkata, PUNB telah memberikan peruntukan dana sebanyak RM35,000.00 bagi kos pelaksanaan program ini, yang merupakan salah satu inisiatif pemberian dana untuk menyokong pelaksanaan idea dan cadangan projek perusahaan sosial oleh pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Katanya, untuk sesi pitching akhir ini, hadiah kemenangan berjumlah RM5,000.00, plak, dan sijil akan disampaikan, serta peserta yang terpilih akan dilatih dalam program berteraskan keusahawanan sosial dan inovasi pada masa hadapan.
“Justeru, program PUNB X UMK Uni-Challenge 2024 ini amat penting bagi membolehkan usahawan pelajar yang belum didedahkan dengan ilmu keusahawanan sosial untuk terus memperoleh input berguna daripada penceramah-penceramah yang berkaliber dan berpengalaman, di samping membantu meningkatkan impak perniagaan Usahawan PMKS.
“Harapan kami adalah agar kolaborasi bersama PUNB serta penganjuran program ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan dilaksanakan dalam skala yang lebih besar demi kelestarian pelaksanaan program keusahawanan sosial kepada usahawan pelajar di UMK,” katanya.