KUALA LUMPUR, 12 November 2024 – Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meraih Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara Tahun 2023 bagi Kategori Mentor & Mentee (Mentor), yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South, malam tadi.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, YB En. Steven Sim Chee Keong, kepada Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak, yang diiringi oleh Pengarah CMeOSH, Ts. Dr. Darliana Mohamad.
Menurut Dato’ Prof. Dr. Razli, anugerah ini menjadikan CMeOSH UMK sebagai Universiti Awam (UA) dan sektor kerajaan pertama yang memenangi OSH Award dalam kategori Mentor & Mentee.
Beliau berkata, pencapaian ini amat bermakna kerana sebelum ini anugerah tersebut sering dimenangi oleh industri-industri besar seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad, SHELL, Northport (Malaysia) Bhd, Malaysia LNG Sdn Bhd, dan lain-lain.
“Saya berharap CMeOSH UMK dapat terus memacu kecemerlangan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), khususnya sebagai rujukan kepada institusi dan industri lain. Ini adalah satu pengiktirafan yang besar kepada organisasi dan individu yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam memastikan keselamatan serta kesihatan pekerjaan di tempat kerja,” katanya.
Dato' Prof. Dr. Razli turut menyatakan rasa bangga kerana prestasi CMeOSH UMK telah dijadikan rujukan dan Mentor Mentee kepada Kolej Vokasional Bachok oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH).
Sementara itu, Ts. Dr. Darliana menyatakan bahawa anugerah berprestij ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.
“Sehubungan itu, pihak CMeOSH ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengurusan Tertinggi UMK, terutamanya kepada Dato' Prof. Dr. Razli sebagai Pengerusi Jawatankuasa Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Induk (JPKKPI), atas sokongan dan kerjasama yang diberikan,” katanya.
