KOTA SAMARAHAN, 17 November 2024 – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Debat Diraja Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024 bagi kategori Bahasa Melayu, setelah menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Arena Gemilang, DeTRA PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
UMK, yang bertindak sebagai pasukan pembangkang, membahaskan usul perdebatan, "Kecerdasan Buatan (AI) adalah medium utama penyatuan masyarakat," berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM5,000.00, piala pusingan, piala iringan, serta hadiah individu.
Pasukan Debat UMK turut merangkul anugerah Pendebat Terbaik Peringkat Akhir yang dimenangi oleh Nurshadina Natasha Sabarudin, yang menerima hadiah wang tunai RM500.00 dan sijil penghargaan.
Pasukan UMK dianggotai oleh Muhammad Raihan Sharul bin Saron, Nurshadina Natasha binti Sabarudin, Muhammad Haries Husni bin Khalil Husaini, dan Nik Nur Alissa Safira binti Muhd Laha.
Pertandingan ini menyaksikan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai kerajaan pencadang, menentang UMK selaku pembangkang.
Pertandingan Akhir Debat Diraja IPT 2024, yang memasuki edisi ke-25 tahun ini, bermula dengan sesi saringan secara dalam talian pada 8 hingga 10 November 2024, melibatkan 63 pasukan dari 23 institusi pendidikan tinggi di seluruh negara. Hanya 11 institusi berjaya melangkah ke peringkat suku akhir, dan peserta bersaing dengan penuh semangat untuk mara ke peringkat akhir.
Pada peringkat akhir, UMK berjaya menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam kategori Bahasa Melayu, manakala Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) masing-masing muncul juara bagi kategori Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YBM Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Hadir sama, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia merangkap Pengerusi Sekretariat Majlis Debat Universiti Malaysia, Profesor Sr Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim bin Hj. Ismail.
Menurut Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, Pertandingan Akhir Debat Diraja IPT 2024 memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran kritis serta memupuk perpaduan dalam kalangan mahasiswa. Tema "Jalinan Perpaduan" yang dipilih tahun ini adalah sejajar dengan semangat kebersamaan di Sarawak, yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan etniknya.
Beliau menggesa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) untuk terus menyokong aktiviti seperti debat, yang mampu melahirkan pemimpin masa depan dengan kemahiran berhujah dan berkomunikasi secara efektif.